| 0 comments ]

RANTAU PANJANG, 17 Dis (Bernama) -- Ketika banjir di kawasan lain sudah kembali reda, keadaan di jajahan Pasir Mas dilaporkan semakin buruk apabila lebih 4,000 orang diarah berpindah berikutan paras air Sungai Golok yang semakin meningkat. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata jumlah keseluruhan yang dipindahkan di Kelantan pada pagi ini adalah 6,039 orang berbanding 3,772 orang yang dilaporkan malam tadi. Kita tinjau berita terkini sehingga 11:19 pagi ini di Kelantan dan Pahang.

"Hujan lebat yang melanda daerah Rantau Panjang dan Selatan Thailand semalam antara punca paras air di sungai itu naik mendadak menyebabkan mangsa pindah di Pasir Mas meningkat sebanyak 4,376 orang," katanya. Terdapat 45 pusat pemindahan di seluruh daerah dan 19 daripadanya adalah di Pasir Mas.

Banjir yang melanda beberapa negeri sejak lebih seminggu lepas sehingga kini meragut 23 mangsa iaitu 13 di Kelantan, tujuh di Pahang dan tiga di Johor. Sementara itu, jumlah mangsa pindah di Tanah Merah seramai (630), Kota Baharu (330), Tumpat (522), Machang (104) dan Kuala Krai (77 orang) manakala pusat pemindahan di Gua Musang telahpun ditutup. Paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang ketika ini pada bacaan 10.51 meter melebihi paras bahaya sembilan meter. Keadaan cuaca di tempat lain dilaporkan cerah.

Jalan utama yang masih ditutup adalah di Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini dan Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang yang masing-masing dinaiki air sedalam 0.6 hingga 1.5 meter. Laluan utama di kilometer 65 Gua Musang-Kuala Krai turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh dan pengguna diminta menggunakan jalan alternatif yang disediakan.

Di Kuantan, PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata sehingga 9 pagi ini, seramai 22,304 orang daripada 4,698 keluarga masih ditempatkan di 163 pusat pemindahan seluruh negeri berbanding 21,699 orang semalam.

Beliau berkata daerah Pekan terus mencatatkan penambahan mangsa banjir iaitu seramai 9,386 orang daripada 1,960 keluarga yang ditempatkan di 43 pusat pemindahan. "Daerah lain yang terlibat ialah Temerloh seramai 4,437 orang, Maran (2,678), Rompin (2,472), Kuantan (1,127) dan Bera (2,204)," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata 19 orang dari empat keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Jerantut telahpun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 8 pagi tadi selepas keadaan kembali pulih.

Sementara itu, Jalan Pekan-Rompin di KM19; KM8 Rompin-Muadzam Shah dan laluan Kuantan-Segamat masih ditutup kepada semua kenderaan.

Di TEMERLOH, paras air di Sungai Pahang mencatat penurunan sebanyak 0.20 meter kepada 32.74 meter berbanding 32.94 meter yang dicatatkan semalam namun ia masih berada pada paras amaran kedua (33.39 meter). Jurucakap Bilik Gerakan Operasi Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh berkata paras air Sungai Semantan berhampiran pusat bandar pula naik kepada 49.21 meter berbanding 49.13 meter semalam.

Beliau berkata kebanyakan jalan yang ditutup telahpun dibuka semula kepada semua kenderaan kecuali jalan menghubungkan Temerloh-Triang yang masih ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam satu meter di KM6 Kampung Lebak dan KM4 Kampung Pangsenam, yang menghubungkan Bera dengan Temerloh.

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment