| 10 comments ]

Al-Fatihah. BEKAS Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, meninggal dunia di Unit Rawatan Rasmi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB), petang semalam.

Allahyarham adalah seorang tokoh agama yang dihormati, bukan saja di Selangor, malah di seluruh negara. Beliau dilantik sebagai mufti kelima di Jabatan Mufti Selangor secara kontrak pada 16 Ogos 1985, ketika berusia 58 tahun, iaitu tiga tahun selepas bersara sebagai guru agama.

Sepanjang Ishak menjadi mufti selama 12 tahun, beliau terpaksa melalui pelbagai kontroversi. Antaranya ialah apabila beliau menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan tiga gadis Islam yang juga model sambilan, menyertai satu pertandingan ratu cantik pada 1997. Pendirian tegas beliau bukan saja menyebabkan ramai pihak terkejut, ada yang mempertikaikan tindakan Jais.

Ia juga menimbulkan satu lagi kontroversi, apabila akhbar lidah rasmi Pas, Harakah, melaporkan Ishak menuduh iman Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai terpesong berikutan kenyataan Dr Mahathir mengenai kes penangkapan tiga peserta terbabit. Lanjutan daripada laporan Harakah itu, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tersinggung dengan kenyataan Ishak, namun isu berkenaan dianggap selesai selepas Ishak menjelaskan keadaan sebenar.

Pun begitu, tidak lama kemudian, Ishak melahirkan rasa sedih dan kekesalannya kerana tiada seorang pun pemimpin kerajaan negeri yang mempertahankan tindakan Jais menahan ketiga-tiga gadis itu. Kenyataan Ishak itu dikatakan dibuatnya ketika beliau menyampaikan satu ceramah di Masjid Az-Zubir Ibnu Al-Awwam di Cheras.

Ketegasan Ishak dalam isu membabitkan akidah dan cara hidup umat Islam di Selangor memang sudah diketahui sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai mufti.

Pada awal 1996, Ishak mengeluarkan kenyataan mengharamkan perbuatan merokok di kalangan umat Islam. Beliau yang juga Pengerusi Perunding Hukum Syarak Selangor ketika itu, memberi penjelasan bahawa ada bukti kukuh mengapa perbuatan merokok dianggap sebagai haram. Antara alasan yang diberikan ialah ia membahayakan kesihatan dan hakikat itu sudah diakui pakar kesihatan sendiri.

Ishak juga pernah membuat kenyataan bahawa pinjaman yang dibuat penjaja dan peniaga kecil Melayu daripada along atau ceti haram menunjukkan mereka tidak mengambil berat soal halal haram hingga sanggup membuat pinjaman atau berurusan dengan mereka. Ishak menegaskan bahawa perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak kerana ia ada unsur riba yang hukumnya adalah dosa besar.

Sepanjang beliau menjadi mufti sehingga ke akhir hayatnya, Ishak menjadi penceramah dan pendakwah bebas walaupun beliau pernah diharamkan kerajaan Selangor, daripada menyampaikan ceramah di masjid dan surau negeri itu pada November 1998. Bagaimanapun, larangan itu ditarik balik pada Februari 1999.

Secara peribadi, Ishak berpegang kepada prinsip jika kita berbuat baik kepada orang tanpa mengira kaum dan keturunan, Tuhan akan membalas perbuatan dengan balasan yang baik. Selain itu, Ishak percaya setiap individu tidak perlu berkira untuk membantu atau berkorban kepada individu lain asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran agama dan berada di jalan yang benar.

Biarpun Ishak sering berdepan dengan pelbagai kontroversi, dengan prinsip yang dipegangnya sepanjang hayat beliau, Ishak tetap disayangi keluarga dan orang yang mengenalinya sehingga akhir hayat beliau. Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Mohamad Hashim Yahya berkata Almarhum seorang sangat alim, tinggi ilmu agama dan tinggi akhlaknya.

AL-FATIHAH. Agaknya dunia semakin berakhir, ditandai dengan gugurnya seorang demi seorang ilmuan agama dari dunia ini.

Related Posts by Categories



10 comments

Jie said... @ 3:28 PM

Ucapan Takziah kepada keluarga bekas Mufti Selangor , Datuk Ishak Baharom...Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan semoga Allah SWT memberi ketabahan dan kesabaran kepada keluarga beliau atas ujian diterima.

Agak kecewa membaca Kosmo hari ini, berita ttg tokoh sehebat ini hanya berita seperenggan. Sepatutnya banyak yang boleh ditulis kerana beliau sepanjang hayatnya telah memberi banyak khidmat untuk umat Islam.

PakTeh said... @ 5:35 PM

Terimakasih Jie. Sama-samalah kita hadiahkan doa ke hadhrat Allah SWT semoga Allahyarham diampuni, dirahmati & dilindungi selepas matinya. Semoga dimasukkan ke dalam golongan hamba2-Nya yang berbakti di jalan-Nya. Al-Fatihah.

Sebenarnya saya juga terkilan dengan Bernama, sebab semalam hanya berita Loloq meninggal sahaja dalam berita terkininya. Adakah kematian Ishak Baharom tidak disebarluaskan petang semalam kerana penglibatannya dalam PAS? Kalau betul.. isk.. sedih & tak patut.

iEn said... @ 11:19 PM

Al-Fatihah.. moga dpt balasan baik dr Allah swt.. Amiin

PakTeh said... @ 11:32 PM

amiin. thanks ien.

Qaseh Bidadari said... @ 10:20 AM

saya kagum dgn keberanian beliau..

kite kehilangan satu lg pendakwah berkaliber dan ikhlas...

PakTeh said... @ 11:49 AM

mama ranggie: betul. bukan ramai ulamak yang berani mengatakan TIDAK BOLEH di hadapan khalayak yang rata-ratanya mengatakan BOLEH. itulah dugaan bagi kalangan ulamak akhirat.

semoga Allah merahmati ruh Allahyarham.

Farah Deen said... @ 1:22 PM

Innalillahhh

KeL@T said... @ 2:04 PM

al-fatihah... salam takziah...

Suara Perindu said... @ 4:55 PM

2 PakTeh,
Saya amat mengkagumi Allahyarham. Berani kata yang benar walaupun pahit. Moga Rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

PakTeh said... @ 7:13 PM

farah | kelat | abang putra : terimakasih. insya allah, sama2lah kita berdoa kebaikan utk yang dah tiada. kita juga akan menuruti jejak2 mereka yang lebih awal mendahului kita.

Post a Comment