| 0 comments ]

January 17, 2008 13:17 PM

SUNGAI PETANI, 17 Jan (Bernama) -- Seorang guru Khamis memfailkan saman fitnah terhadap seorang ibu atas tuduhan menfitnah beliau kononnya telah memukul anak surirumah itu sehingga cedera teruk pada tahun lepas.

E.Kogiladevi, 27, guru Bahasa Malaysia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Kalaimagal, Taman Sri Gedong di sini memfailkan saman itu terhadap K.T.Rukumani,43 di Mahkamah Sesyen di sini.

Guru itu mendakwa Rukumani telah membuat laporan palsu dan menfitnahnya menerusi media massa pada 25 Julai tahun lepas dengan mendakwa telah memukul anak surirumah itu, K.Shamni, 8, dengan teruk sehingga dimasukkan ke Hospital Sungai Petani.

Shamni murid tahun satu ketika itu, mendakwa telah dipukul dan dicekik dengan teruk oleh guru berkenaan di dalam kelas dan ibunya membuat aduan polis serta mendedahkan kejadian itu kepada media massa.

Dalam writ samannya, Kogiladevi menuntut pampasan tidak melebihi RM250,000 atas fitnah yang telah memalukan diri dan keluarga serta menjejaskan imej kariernya sebagai seorang guru.

Kogiladevi diwakili peguam Tan Yoon Yoo dalam saman itu.

Pada kejadian 24 Julai tahun lepas, Shamni yang pulang ke rumah dalam keadaan cedera memberitahu ibunya bahawa dia kononnya telah dipukul dengan rotan dan dicekik setelah gagal menurut arahan guru itu.

Shamni kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Petani untuk pemeriksaan setelah badannya didapati lebam dan ibunya kemudian membuat laporan polis mengenai insiden itu sebelum mendedahkannya kepada media.

Bagaimanapun Kogiladevi menafikan bahawa beliau telah memukul murid berkenaan dan meminta penjelasan secara bertulis daripada ibu murid tersebut tetapi tidak mendapat sebarang reaksi.

Kogiladevi memberitahu pemberita kemudian, saman itu adalah sebagai langkah terakhir yang diambil setelah beliau dan pengurusan sekolah menghantar surat kepada Rukumani untuk meminta penjelasan mengenai kenyataan akhbarnya.

Katanya, ibu murid itu bagaimanapun tidak menjawab surat berkenaan dan atas nasihat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), beliau mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng berkata, tindakan saman itu adalah yang pertama diambil dan ia bertujuan untuk memberi pengajaran kepada semua ibu bapa agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan sebarang tuduhan kepada guru.

Katanya, NUTP telah memberitahu semua ibu bapa supaya menyelesaikan sebarang masalah berkaitan guru dan anak mereka di peringkat sekolah terlebih dahulu dan tindakan lanjut hanya boleh diambil jika pihak sekolah gagal menyelesaikan masalah yang timbul.

Beliau berkata, NUTP telah menyiasat kes itu dan mendapati dakwaan ibu murid itu adalah tidak benar.

-- BERNAMA

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment