| 0 comments ]

Isu bermula sewaktu pembentangan Belanjawan 2008 (07-09-2007), Y.A.B. Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengumumkan bahawa yuran sekolah rendah dan yuran sekolah menengah telah dimansuhkan. Semua rakyat amat gembira dengan kenyataan itu. Esoknya, YB Menteri Pelajaran pula menegaskan bahwa: 
“Ibu bapa kini tidak boleh memberi alasan kewangan untuk tidak menghantar anak masing-masing ke sekolah selepas kerajaan menyediakan pendidikan secara percuma mulai tahun depan.” (Utusan Malaysia: 08-09-2007)
Itu kata-kata pihak perancang dasar. Bagaimana dengan kekeliruan di peringkat pelaksana di sekolah? Sekolah memang memerlukan wang untuk keperluan kertas peperiksaan, MSSM, kegiatan kokurikulum & sukan. Malahan insurans perlindungan takaful murid RM1.50 memang wajib dikumpul sebelum akhir Januari setiap tahun, ada surat pekeliling berkaitannya, iaitu SPI Bil. 3/95. Dalam masa sama, pihak sekolah tidak diberi tambahan geran perbelanjaan mengurus misalnya LPBT oleh pihak kementerian.


Maka, pihak sekolah diarah oleh KPM untuk buat permohonan memilih salah satu pakej dari Pakej Bayaran Tambahan untuk dibayar oleh ibubapa, dengan persetujuan Jawatankuasa PIBG. Pemilihan nilai bayaran pakej itu berbeza mengikut jenis sekolah, lokasi serta latar sosio ekonomi ibubapa.  

Sistem Pakej Bayaran Tambahan Sekolah (A/B/C - Sek. Men)

Setelah pihak sekolah warwarkan dalam surat kepada ibubapa berkaitan pakej, timbullah bantahan ibubapa. Dulu kata tak payah bayar, sekarang kena bayar pulak. Perdana Menteri hanya umum yuran mansuh - tetapi tidak maklum hanya pada kadar yuran runcit asas iaitu RM9.00 (Sek. Men) dan RM4.50 (Sek. Ren.). Tukar nama yuran, diganti oleh Pakej Bayaran Tambahan (PBT) pula. Sesetengah lokasi, nilai PBT adalah lebih tinggi dari nilai yuran sekolah terdahulu.

Mungkin kerana kerap ditanya, dengan penuh emosi YB Menteri Pelajaran dalam siaran TV bulan Januari, 2008 menyatakan Pakej Bayaran Tambahan ini tidak wajib dan ibu bapa boleh menuntut kembali wang yang telah dibayar. Satu kenyataan yang tidak boleh PakTeh lupa ialah "Kalau mereka tidak bayar pun, bukannya sekolah boleh sampai tutup!".

Maka hebohlah pula bahawa ibubapa mula tak mahu bayar Pakej Bayaran Tambahan itu. Para pentadbir sekolah mula pening.. Implikasi perundangan boleh timbul, kerana sekolah belum terima kelulusan pemilihan pakej ketika itu. Edaran kadar pakej telah disebar dan dimaklum pada ibubapa. Apa agaknya komen Akaun Belum Bayar bagi wang SUWA dibangkitkan kelak dalam Laporan Semakan Audit sekolah kelak. Bagaimanapun, pentadbir sekolah telah diajar agar patuh dengan pekeliling berkuatkuasa. Jadi, benar.. Menteri Pelajaran tidak mengeluarkan surat arahan rasmi menyatakan pakej Bayaran Tambahan itu tidak wajib, selepas itu. Jadi.. sekolah pun buat kutipan seperti biasa (lebih kurang macam yuran jugalah, walau namanya lain).

Isu ini mungkin salah satu sebab Barisan Nasional hampir tumbang pada 08/03/2008 tempohari. Kes nampak simple, tetapi kesannya besar. Perdana Menteri yang buat pengumuman tentang pemansuhan yuran, seingat PakTeh.. tidak pernah ulas tentangnya lagi - semua serah pada Menteri Pelajaran untuk jawab. Kekeliruan yang timbul tentu menimbulkan kemarahan rakyat. Jangan lupa, berapa juta ibubapa di Malaysia? Mereka juga tentunya pengundi..

Bulan Oktober lalu, ada Pengarah Pelajaran Negeri telah mengarahkan semua Pegawai Pelajaran Daerah di negerinya agar setiap sekolah tidak membuat sebarang kutipan Pakej Bayaran Tambahan (A/B/C) tahun hadapan sehingga akhir bulan Mac, 2009. Pakej itu pula mesti mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Agong PIBG sekolah masing-masing. Nampaknya, sekolah di negeri itu harus buat mesyuarat PIBG awal sedikit, tidak lagi Mac seperti biasa. Juga diminta tunggu arahan terbaru dari pihak kementerian pada hujung tahun.

Tup-tup.. baru-baru ini, Menteri Pelajaran dalam sidang akhbarnya mengumumkan bahawa mulai tahun 2009, sebarang kutipan bayaran tambahan oleh PIBG tidak lagi dibuat pada awal tahun. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Awal Penggal Persekolahan 2009 memutuskan bahawa bayaran tambahan tersebut akan dikutip pada pertengahan tahun setelah mendapat persetujuan mesyuarat PIBG. 

Andainya Pakej Bayaran Tambahan 2009 dikutip lewat 4 bulan, dan Derma PIBG pula mulai Penggal Dua; nampaknya sekolah agak kurang wang untuk jalan program di awal tahun. Jika sebelum ini yuran sekolah & derma PIBG dikutip sejak awal tahun pun masih tak dapat sepenuhnya hingga akhir tahun (fenomena biasa di luar bandar), bagaimana agaknya jika mula dikutip bermula pertengahan tahun ?..  

Kita tengoklah nanti,  apa nak jadi..

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment