| 0 comments ]

Berikut foto-foto berkaitan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang awal pagi tadi. Urutan peristiwa dan fakta berkaitan dinyatakan di bawah.

  • Kejadian tanah runtuh pukul 4.00 pagi tadi yang menimbuskan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama telah mengorbankan 4 orang manakala 2 lagi mangsa dipercayai masih terperangkap.
  • Mangsa yang terkorban dikenalpasti ialah Shaiful Khas Datuk Shahrudin (20 tahun), Dr N. Yogeswari (40 tahun), Eng Yee Peng (30 tahun) dan Surinah (pembantu rumah warga Indonesia).
  • Pasukan mencari dan menyelamat yang beroperasi 24 jam tanpa henti walaupun hujan mula menggunakan jengkaut untuk mengesan mangsa yang tertimbus.
  • 14 pasukan penyelamat di lokasi dan mereka akan turut membuat dua laluan alternatif supaya penghuni yang tinggal di kawasan berhampiran boleh keluar.
  • Polis telah menasihati antara 3,000 - 5,000 penduduk di situ agar meninggalkan rumah mereka, yang kebanyakannya berupa apartmen. 1,500 rumah akan bergelap malam ini.
  • Penduduk yang diarahkan pindah dari kawasan kejadian akan ditempatkan di pusat sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang. Mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah mendapat pengesahan Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) jika kawasan itu selamat.
  • Masalah operasi sekarang adalah keadaan tanah yang masih bergerak dan tidak stabil apabila usaha mengorek tanah dijalankan. Kawasan runtuhan itu meliputi 4 hektar dengan lingkungan 1 kilometer meliputi kawasan sekitarnya.
  • 93 orang mangsa kejadian tanah runtuh itu berjaya menyelamatkan diri. 14 orang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur.
  • Mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan awal di surau Addinniah di Bukit Antarabangsa sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dengan menggunakan tidak kurang daripada 12 ambulans.
  • Banglo yang tertimbus itu melibatkan 8 unit banglo di Taman Bukit Utama dan 6 unit di Taman Bukit Mewah.Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, tetapi keluarga berkenaan berjaya menyelamatkan diri.
  • Menurut bomba dan penyelamat, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah.
  • Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang giat menjalankan kerja menyelamat.
  • Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus-ratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa. Mereka yang terperangkap dan juga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif memandangkan jalan utama ke kawasan itu tidak dapat dilalui.
  • ADUN Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali yang melawat tempat kejadian berkata pergerakan tanah masih berlaku dan bekalan elektrik di beberapa kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa terputus. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut melawat tempat kejadian.
  • Tanah runtuh hari ini berlaku kira-kira 1.5km dari tempat berlaku runtuhan tiga blok 12 tingkat apartmen Highland Towers pada 11 Dis 1993, mengorbankan 48 orang.
  • Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa juga yang kejadian ketiga berlaku di Lembah Klang dalam masa seminggu.
  • Pada 30 Nov, dua beradik Noratirah Roslan, 16, dan Nurul Intan Sarina, 9, terbunuh dalam kejadian runtuhan tanah yang menimpa banglo kediaman mereka di Ulu Yam Perdana, Gombak.
  • Khamis lepas, tanah runtuh di Jalan Semantan meranapkan dinding konkrit kawasan meletak kenderaan yang terletak antara dua bangunan, mengakibatkan enam kereta tertimbus selain merosakkan lima lagi kenderaan.
  • Kesemua kejadian tanah runtuh ini dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah, dan keadaan itu diburukkan lagi oleh hujan lebat sejak beberapa minggu lepas.
(Sumber: Bernama, mStar, TV3, Malaysiakini)

Setakat ini penguatkuasaan dan tindakan undang-undang pembangunan di lereng bukit masih belum ketat dijalankan di Malaysia. Ia jelas longgar, sampai nak terlondeh. Kita ada ramai politikus yang bijak bercakap, para hakim yang bijaksana, ramai jurutera di JKR & Kerajaan Tempatan yang tahu spesifikasi binaan, ramai pakar EIA di universiti yang bentang kajian, ramai jutawan yang mampu beli rumah mahal dan sebagainya. Jadi.. kenapa jadi begitu dan masih begitu? Fikir-fikirkan..

Atau agaknya.. jika ada duit, semua boleh jadi..

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment