| 2 comments ]

Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) kini diberi secara percuma kepada semua murid tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah menengah agama rakyat. Seramai 5.7 juta pelajar mendapat manfaat tahun ini, di mana peruntukan tersebut membabitkan kos tambahan sebanyak RM128 juta berbanding RM4.5 juta tahun lalu.

Isu terkini - berlaku trend membimbangkan di kalangan pelajar yang malas bawa buku teks ke sekolah sehingga menjadi budaya. Keengganan mereka membawa buku teks ke sekolah yang boleh mengundang permasalahan jangka panjang terutama dalam melahirkan masyarakat berilmu.

Trend yang membimbangkan itu diakui guru, ibu bapa serta di pihak Kementerian Pelajaran.

Berita Minggu hari ini membawa kupasan betapa trend enggan bawa buku teks jadi budaya. Menarik untuk dibaca dan dikaji oleh semua pihak.

Dalam akhbar yang sama, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir mengakui bahawa pelajar yang enggan membawa buku teks dikesan membabitkan pelajar sekolah menengah antara tingkatan tiga hingga lima.

"Mengikut pengalaman, masalah tidak membawa buku teks ini membabitkan pelajar menengah terutama menengah atas. Masalah ini tidak berlaku di kalangan pelajar sekolah rendah.

"Pada saya, pelajar yang enggan membawa buku teks ini adalah mereka yang melanggar disiplin sekolah dan seharusnya dikenakan tindakan oleh sekolah," katanya.

Beliau turut menyalahkan ibu bapa yang tidak prihatin dengan tindakan anak masing-masing termasuk tidak memeriksa buku dan jadual pembelajaran anak di sekolah.

"Pada saya jika ibu bapa mengambil berat hal anak, tidak mungkin ada pelajar datang ke sekolah tanpa membawa sebarang buku teks. Kita boleh lihat dengan jelas sama ada beg anak itu nampak tebal atau nipis.

"Jika beg nampak nipis sudah tentu tiada buku di dalamnya. Pernah satu masa, ketika masih menjadi pengetua, saya ada meminta pelajar dalam sebuah kelas meletakkan semua barang dalam beg di atas meja. Menyedihkan, ada pelajar yang tiada satu barang pun boleh dipamerkan kerana tidak membawa satu apa pun ke sekolah walaupun sebatang pen.

"Ini bermakna pelajar berkenaan hanya menghadirkan diri ke sekolah bukannya untuk belajar di sekolah. Sepatutnya kejadian sedemikian tidak berlaku jika ibu bapa mengambil berat soal persekolahan anak-anak mereka," katanya.

Mengenai buku teks yang berat menyebabkan pelajar enggan membawa buku ke sekolah, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana jadual pembelajaran yang disusun pihak sekolah adalah anjal dan tidak akan membebankan pelajar.

"Kes tidak membawa buku teks ini hanya membabitkan pelajar malas, bukannya pelajar cemerlang. Begitu juga taburan sekolah yang terbabit. Tidak semestinya, kes ini membabitkan sekolah di bandar, ia juga berlaku di luar bandar dan sekolah yang dianggap cemerlang," katanya.

Namun, beliau menganggap kes berkenaan membabitkan segelintir pelajar yang perlu ditangani segera.

Ditanya kemungkinan buku teks tebal dan berat menjadi punca, beliau berkata, pelajar semestinya tahu tanggungjawab masing-masing dan tidak seharusnya dijadikan alasan.

"Kementerian Pelajaran mengambil berat kualiti buku teks yang dikeluarkan. Kita tidak mahu buku yang dihasilkan mempunyai kualiti kertas yang rendah seperti kertas cetak biasa. Kualiti buku teks sangat penting untuk menjadi reputasi pendidikan negara," katanya.

Setakat ini, tiada kajian khusus mengkaji pemasalahan pelajar sekolah menengah yang enggan membawa buku ke sekolah.

Kementerian Pelajaran menerusi Unit Penyelidikan, Sektor Penerbitan dan Penyelidikan Bahagian Buku Teks hanya melakukan kajian mengenai beg berat pelajar dengan tajuk 'Berat Buku Teks Murid Sekolah Rendah' pada 2003.

Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan turut mengakui kewujudan masalah itu dan berdasarkan pemantauan, kebanyakan murid memberi alasan buku teks berat, penyusunan jadual waktu yang tidak sistematik dan lebih mengejutkan apabila ada pelajar dengan berani mengakui malas membawa buku teks.

"Justeru, ibu bapa dan guru perlu berani memberi tunjuk ajar kepada pelajar supaya menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin. Jika perlu, guru boleh mendenda pelajar misalnya menyuruh mereka menulis 'saya akan membawa buku teks ke sekolah' bagi menyedarkan mereka mengenai kepentingan buku teks ketika pembelajaran," katanya.

Mohamad Ali juga meminta kerajaan menimbang semula keperluan Skim Pinjaman Buku Teks yang diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak.

Hrm.. bagaimana? Bagi PakTeh, SPBT adalah sejenis bantuan ke arah kebajikan semua murid. Sebelum ini, memang ada isu SPBT untuk bagi murid yang berpendapatan ibubapanya kurang RM700, kemudiannya dinaikkan kepada RM1,000.00. Kemudian wujud skim khas untuk anak-anak guru. Akhir sekali - percuma pada semua.

Jika buku tidak lagi perlu dibeli, kos ibubapa dah kurang. Ibu bapa cuma perlu pastikan anak-anaknya membawa buku yang ditetapkan oleh guru mengikut jadual waktu. Elok periksa sekali-sekala beg anak ke sekolah. Adakah nota-nota dan latihan dibuat oleh anak dan disemak oleh guru? Jika was-was, hubungi pihak sekolah dan berjumpa guru mata pelajaran berkaitan. Pihak sekolah biasanya boleh beri berbagai 'input' yang tidak diduga oleh ibu bapa.

Pihak sekolah pula harus menentukan agar buku-buku teks digunakan secara optimum dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan buku kerja atau helaian lembaran tidak sepatutnya memupuskan keperluan SPBT sebagai asas kandungan subjek. Buku teks sekarang mempunyai latihan, gambarajah dan huraian yang jelas bagi sesuatu topik - serta berwarna. Gunakanlah ikut kesesuaian dan keperluan dalam aktiviti pengajaran.

PakTeh pernah jadi guru, dan pernah mengajar. Dahulu, PakTeh ada peraturan khas yang ditaklimatkan pada semua murid - waktu pertama kali PakTeh masuk di awal tahun - bagi setiap kelas diajar. Peraturannya seperti berikut:

Peraturan Subjek ______ Tahun/Tingkatan ____ Tahun  _____
  1. Kelas mesti senyap pada sebelum, semasa pelajaran dijalankan dan selepasnya.Jika ingin bertanya atau ingin ke tandas, angkat tangan. Boleh beri soalan atau pandangan apabila diberi peluang / kebenaran. 
  2. Kelas mesti bersih di dalam dan di luar kelas. Tiada sebarang bentuk sampah dibenarkan.
  3. Semua murid mestilah telah bersedia untuk belajar. Di atas meja, hendaklah terdapat : (i) Buku teks di sudut kiri atas meja. (ii) Buku nota dan latihan di sudut kanan atas meja. (iii) Kotak pensel / alatulis di bahagian tengah atas meja.
  4. Melaksanakan semua tugasan yang diberi, mengikut masa yang ditetapkan.

Itu semua murid kena salin dalam buku nota, sebagai nota pelajaran yang pertama. Bukankah peraturan itu sebahagian dari proses pendidikan? PakTeh suruh murid keluarkan apa alatulis yang mereka ada, beri komen jika belum lengkap. PakTeh latih juga mereka bangun dan duduk tanpa sebarang bunyi kerusi/meja. PakTeh ajar mereka cara memberi salam dan ucapan terima kasih seperti yang PakTeh mahukan. PakTeh pastikan semua murid telah menulis nama mereka, nama subjek, nama judul buku tulis serta nama guru pada 2 jenis buku rampaian. Buku teks juga dipastikan telah dicatat nama, kelas dan tahun dipinjam. Ketegasan adalah perlu. Jelaskan setelah nasihat, teguran dan amaran tidak dipatuhi, tindakan akan diambil. Beberapa model baik dan tidak baik akan ditunjuk pada masa itu, untuk penghargaan/teguran pada semua. Tidak ketinggalan, sesi suai kenal ringkas bersama pelajar. 

Semuanya "just in a single period" - 40 minutes. Orientasi.

Biasanya kali ke-2 PakTeh masuk kelas, hehe.. pemantauan kali ke-2 dijalankan for the first 5 minutes. Tindakan terus diambil masa ini, bagi murid yang belum 'bersedia'. Kan PakTeh dah janji sebelumnya? Janji mesti dikota. Kali ke-3 dan seterusnya: best! Murid memang bekerjasama. Sekali susah di awal tahun, tetapi senang mengajar sepanjang tahun. Insya Allah. 

Semua pendidik mempunyai gaya tersendiri mengikut kaedah pedagogi dan psikologi tertentu. Semuanya adalah betul selagi guru mengajar, dan murid belajar. Ibubapa juga pendidik sebenarnya - apabila peraturan ditetapkan, kuatkuasakan. Suntik motivasi pada anak sekali-sekala, dan pantaulah sekali-sekala. Bila ramuan dah cukup, jangan bimbang.. menu gulai masak lemak cili api yang dirancang tentunya akan sedap dan lazat!

Related Posts by Categories



2 comments

Amir Sabrin Mohammad Ali said... @ 2:51 PM

kalau degihantar jer kat pengetua / guru disiplin.

Unknown said... @ 11:17 PM

bagaimana kita nak handle kelas yg bekas dari guru yg lain?maksud saya dari segi disiplin terutama yg malas belajar....terima kasih..

Post a Comment