| 0 comments ]

IPOH: Kementerian Pengajian Tinggi yakin lebih 800,000 pelajar yang kini berada di institut pengajian tinggi akan mendapat pekerjaan yang sesuai walaupun pertumbuhan ekonomi negara dijangka rendah tahun ini dan beberapa tahun akan datang. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata masih ada peluang pekerjaan dan perniagaan baru kerana kerajaan akan meningkatkan perbelanjaan awam walaupun sektor swasta mula mengambil langkah mengurangkan kos termasuk membuang pekerja. 

Beliau berkata, berasaskan kajian kementerian itu sejak beberapa tahun lalu, kira-kira 80 peratus lulusan diploma dan ijazah sarjana muda mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas lulus.

Katanya, graduan yang sukar mendapat pekerjaan biasanya adalah lulusan kesusasteraan universiti awam seperti pengkhususan dalam Geografi. 

“Peluang pekerjaan masih ada dalam sektor perniagaan dan perkhidmatan kerana walaupun dalam suasana ekonomi semasa, perbelanjaan dalam negara masih tinggi. 

"Universiti juga digalakkan menyediakan program keusahawanan bagi pelajarnya kerana masih banyak ruang untuk peluang perniagaan.

Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mengesan kekosongan jawatan dalam industri dan memadan graduan mengikut bidang masing-masing,” katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) di sini, semalam. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr Zakaria Kasar. 

Khaled berkata, lulusan ijazah sarjana muda juga boleh menyertai perkhidmatan awam kerana sektor itu sentiasa mempunyai kekosongan walaupun dalam keadaan ekonomi lembap. 

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran menetapkan nisbah guru dengan murid kepada 1:1.7 dan sasaran itu membuka lebih banyak pekerjaan dalam bidang pendidikan untuk graduan.

Katanya, tahun ini saja, 9,700 tempat disediakan untuk kursus diploma pendidikan dan graduan ijazah pertama dalam semua bidang digalakkan memohonnya. 

Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga akan memanjangkan tempoh kajian mengenai graduan yang mendapat pekerjaan daripada enam bulan kepada dua tahun selepas menamatkan pengajian untuk melihat kesan kelembapan ekonomi. 

"Dalam tempoh dua tahun itu, kita tahu di mana graduan ini bekerja, sama ada mereka sudah bekerja atau sebaliknya, apa jurusan yang sukar mendapat kerja dan mencari jalan mengatasi masalah graduan yang sukar mendapat pekerjaan," katanya.

(Sumber: Berita Harian - 4 Februari, 2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment