| 0 comments ]

Jika tempohari menyaksikan saingan sengit ke SBP, MRSM dan SMK Teknik; kini bermula pula perlumbaan ke IPTA. Kali ini menjurus kepada calon-calon lepasan SPM | STPM |  STAM | Setaraf. Kesemuanya dijangka mendapat keputusan peperiksaan awam berkenaan pada pertengahan Mac ini.

Dilaporkan bahawa hampir 140,000 permohonan setakat ini bagi merebut tempat 68,500 tempat setakat ini. Ini bermakna hanya 49.2% sahaja bakal meraih tempat. Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan 40,500 tempat untuk lepasan STPM/STAM berbanding 28,000 untuk lepasan SPM di IPTA. Di samping itu, pemohon lepasan STPM lebih berpeluang ke IPTA berbanding lepasan SPM jika berdasarkan jumlah pemohon dan tempat yang disediakan.

Kita lihat laporan penuh dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi, hari ini.


PUTRAJAYA: Sebanyak 139,207 permohonan bagi kemasukan pelajar ke insitusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2009/2010 diterima sehingga hari ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 71,173 permohonan adalah bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf, manakala 68,034 adalah permohonan Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) dan setaraf, termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"Setakat ini terdapat kira-kira 40,500 kekosongan bagi pelajar lepasan STPM dan setaraf, manakala 28,000 lagi untuk pelajar SPM di IPTA di seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Radin berkata, pemohon disaran mengemukakan permohonan awal melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA iaitu http://upu.mohe.gov.my yang akan dibuka sehingga 10 hari selepas pengumuman keputusan SPM, STPM dan STAM pada Mac nanti.

Beliau berkata, fasa pertama permohonan itu dibuka November lalu dengan pengisian maklumat asas, dan fasa kedua bermula 3 Februari lalu.

Katanya, pemohon perlu mengisi lapan pilihan program pengajian dan calon perlu mendapatkan Nombor Unik ID bagi mencapai aplikasi. Nombor itu boleh didapati di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau di semua Mesin Juruwang Automatik (ATM) di seluruh negara, serta SMS Banking bagi pemegang akaun BSN.

Beliau berkata, pelajar yang ingin menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) yang dipilih sebagai Universiti Program Apex, dinasihatkan memohon terus kepada universiti itu di laman web www.usm.edu.my. Katanya, terdapat sebanyak 3,500 kekosongan di USM dengan lebih banyak peluang diberikan kepada peringkat pasca siswazah berbanding ijazah pertama.

Dr Radin Umar berkata, untuk memudahkan pemohon membuat pemilihan program pengajian, kementerian akan mengadakan satu Karnival Pengajian Tinggi untuk Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang, Sabtu ini. Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual merasmikan karnival itu.

"Antara program yang disusun ialah sesi forum interaktif dan berfokus kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling oleh IPTA, pameran pendidikan, kiosk untuk permohonan kemasukan ke IPTA serta penampilan Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed.

(Sumber: Kenyataan akhbar: 24.02.2009)



Kepada pemohon-pemohon, pilihlah kursus yang tepat sesuai dengan kelayakan, selari dengan minat & cita-cita serta berorientasi pasaran kerja. Di samping itu, jangan lupa bukan IPTA sahaja yang menawarkan peluang pendidikan tinggi. Sebenarnya terdapat lebih 260,700 tempat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara. Kita ada banyak lagi pilihan pendidikan seperti IPTA & IPTS, pihak MARA seperti  Institut Pendidikan MARA (IPMa) termasuk IKM; Kolej Komuniti dan lain-lain. 

Bacalah suratkhabar utama setiap hari (terutama hari Ahad), untuk iklan-iklan terkini. Mohonlah semua sebagai usaha, dan berdoalah moga berjaya. 

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment