| 0 comments ]

Sebelum ini memang ada isu berkaitan isu derma PIBG yang mungkin menyebabkan kebanyakan sekolah kekurangan wang di awal tahun. Langkah pertama oleh Kementerian Pelajaran ialah telah mempercepatkan geran perkapita (PCG) ke sekolah-sekolah berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Hari ini pula, Kementerian Pelajaran mula mengagih-agihkan bantuan sebanyak RM50 juta sebagai bantuan kewangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM25.2 juta akan disalurkan kepada 7,627 sekolah rendah, RM22.6 juta kepada 3,155 sekolah menengah manakala bakinya akan disalurkan kepada sekolah-sekolah baru serta bagi tujuan pelarasan.

Kementerian sedar langkah menangguhkan pembayaran yuran PIBG sehingga pertengahan tahun sedikit sebanyak menjejaskan pelaksanaan aktiviti di sekolah, maka bantuan tersebut disalur bagi membantu menggerakkan PIBG di semua sekolah di seluruh negara, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan waran peruntukan bantuan tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata, waran peruntukan bantuan tersebut yang diserahkan kepada pengarah pelajaran negeri perlu disalurkan kepada sekolah-sekolah berkenaan dalam masa 14 hari.

Bantuan pertama seumpamanya itu diberikan juga atas sebab keadaan ekonomi yang tidak menentu, namun ia tidak harus dijadikan sebagai agenda tahunan kerana PIBG perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menentukan sumber kewangan bagi menampung pelaksanaan keseluruhan aktiviti serta program PIBG di sekolah.

Beliau menambah, tindakan kementerian menangguhkan pembayaran yuran turut memberi lebih masa bagi PIBG dan sekolah untuk berbincang mengenai kadar yuran yang sesuai dan ia tidak sepatutnya menjadi masalah lagi pada masa akan datang.

(Sumber: Kenyataan akhbar - 06/02/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment