| 2 comments ]

Sebenarnya adalah tidak baik membanding-bandingkan antara sekolah. Tentulah ada beza antara SBP, MRSM, KRK, SMKA, SABK, SMT berbanding sekolah harian biasa. Perbezaan juga mungkin ketara bagi sekolah kategori bandar dengan luar bandar. Apatah lagi sekolah kluster dengan bukan kluster. Sebab itu, PakTeh tidak suka (maaf) menyusun ranking sekolah-sekolah.

PakTeh ambil sesuatu fakta biasanya bersandarkan kenyataan akhbar, maklumat dari sumber asal serta portal agensi kerajaan. Pengalaman mungkin banyak membantu terhadap sesuatu isu, tetapi adalah tidak wajar mengemukakan sesuatu topik hanya berdasarkan gossip dan rumours. Apatah lagi dalam perbandingan prestasi sekolah. Ini kerana pencapaian semasa sesebuah sekolah tidak semestinya kekal selama-lamanya. Terdapat sekolah yang keputusannya dulu amat bagus, sekarang jatuh. Juga, terdapat sekolah yang dulunya tercorot, kini membuat lompatan saujana (quantum leap). Bagi sekolah yang bagus pula, amat sukar untuk mempertahankannya. 

PakTeh masukkan entri ini untuk kita bermuhasabah. Setidaknya ia membantu sesiapa yang sukakan analisis perbandingan serta ambil iktibar untuk meningkatkan jati diri.

IPOH 30 Dis. - Seramai 2,591 daripada 41,676 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Perak tahun ini berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, daripada jumlah itu, seramai 206 calon mendapat 9A; 1,774 calon memperoleh 8A manakala 611 calon mencatat keputusan 7A.

Beliau berkata, dalam pada itu, seramai 25,701 orang calon atau 60.61 peratus yang menduduki peperiksaan PMR telah lulus sekurang-kurangnya gred D dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Ini merupakan satu keputusan yang membanggakan dan kita yakin ia boleh dipertingkatkan ke tahap lebih baik pada tahun hadapan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd. Radzi berkata, terdapat lapan buah sekolah di negeri ini yang mencatat keputusan lulus 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (Seratas) Taiping; Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh; Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik, Taiping.

Katanya, empat lagi ialah Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, SMK Raja Perempuan Bainun, Ipoh dan SMK Agama Sultan Azlan Shah di Seri Iskandar.

Beliau berkata, kualiti kecemerlangan akademik STAR, MCKK dan Seratas adalah yang terbaik di negeri ini apabila lebih 70 peratus calon mereka memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

"Bagi STAR, 73.5 peratus calon mereka memperoleh semua A manakala MCKK adalah 72.88 peratus dan Seratas pula sebanyak 70.83 peratus," katanya.

Mengenai prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Mohd. Radzi berkata, peratus kelulusan subjek berkenaan telah meningkat sebanyak 2.04 peratus kepada 72.80 peratus berbanding tahun lepas.

"Bagi saya peratus kelulusan subjek BI masih rendah jika dibandingkan dengan peringkat nasional iaitu 74.5 peratus tetapi jika kita bekerja lebih keras ia boleh dipertingkatkan lagi," katanya.

Katanya lagi, secara keseluruhan, keputusan PMR bagi sekolah di Perak pada tahun ini mempamerkan keputusan yang memberangsangkan kerana terdapat peningkatan dari segi kualiti.

(Utusan Malaysia: 31/12/2008)

Berdasarkan kenyataan akhbar di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa "Top 8" sekolah di Perak berdasarkan PMR 2008 ialah "rangkaian 5 buah SBP (SERATAS, MCKK, STAR, SEMESTI & SBPI Gopeng), 2 buah KRK Negeri (SMK Taman Tasik, Taiping & SMK Raja Perempuan Bainun, Ipoh) serta 1 buah SMKA (SMKA Sultan Azlan Shah)". Maklumat tambahan, 2 buah SMKA lagi (SMKA Krian & SMKA Slim River) boleh ditambah ke dalam senarai bagi menggenapkannya ke angka 10.

Yang membanggakan bagi PakTeh dari senarai itu bukannya sekolah mana yang terbaik, tetapi siapakah pelajar-pelajar yang terbaik dari situ. Siapa? Semuanya orang kite.

Related Posts by Categories



2 comments

Suza said... @ 7:00 PM

Bgi sesiapa yg nak tgk result PMR 2008 ranking sekolah berasrama penuh, boleh tgk kat laman web http://7thsaviours.ceria.com.my/ Klik kat keputusan PMR 2008

Khairunnisa said... @ 4:47 PM

.........Saya gak dapat 5A, tp tak dapat sebarang tawaran...sedih saya....

Post a Comment