| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran akan mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada mereka yang memiliki ijazah teknikal terutama membaik pulih komputer, arkitek dan jurutera bangunan sebagai pegawai kontrak selama dua tahun

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Seri Dr Zulkurnain Awang berkata keutamaan akan diberikan kepada mereka yang diberhenti kerja dan masih menganggur.

"Mereka boleh memohon menerusi portal kementerian yang akan dibuka dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Awang di Pasir Puteh, hari ini.

Turut hadir Pegarah Pelajaran Kelantan, Ghazali Abdul Rahman dan timbalannya Ishak Ismail.

Zulkurnain berkata mereka akan ditempatkan di setiap negeri untuk membantu Jabatan-jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat-pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi memantau perlaksanaan projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Beliau berkata kementerian berkenaan meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi tujuan itu termasuk membayar elaun tetap bulanan yang agak lumayan kepada mereka yang berjaya.

Mengenai pengambilan 1,000 guru siswazah secara kontrak, Zulkurnain berkata mereka yang menunjukkan minat, potensi dan masih menganggur akan diberi keutamaan berasaskan kekosongan bidang tertentu di kawasan masing-masing.

"Misalnya sekolah-sekolah di kawasan mereka kekurangan guru Bahasa Inggeris mereka yang memiliki ijazah di bidang itu akan diberi keutamaan," katanya.

Selain itu mereka yang pernah bertugas sebagai guru sandaran di sekolah-sekolah kementerian itu sebelum ini juga akan diberi keutamaan memohon menerusi portal kementerian dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.

Katanya mereka yang berjaya kemungkinan akan diserapkan ke jawatan tetap jika didapati mereka telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap profesion perguruan.

(Sumber: Bernama - 21/03/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment