| 0 comments ]

Kita biasa mengalami beberapa gegaran gempa bumi sebelum ini di Malaysia. Walau bagaimanapun, kesemua pusat gempa bumi tersebut adalah jauh dari negara kita. Semua pusat gempa adalah terletak di Lingkaran Api Pasifik yang melingkari rantau Asia Tenggara.

Negara serantau yang kerap dikaitkan dengan aktiviti gunung berapi yang aktif adalah Indonesia dan Filipina. Kita sering mengatakan negara kita selamat. Dulu ya, sekarang TIDAK!

Jerantut dah kena gempa bumi kecil 9.46 pagi tadi, berskala Richter 3.0 dengan pusat gempa hanya 65 kilometer sahaja dari Bentong.

JERANTUT, 27 Mac (Bernama) -- Penduduk di beberapa kawasan di Jerantut yang merasai gegaran pagi ini tidak menyangka ia berpunca daripada gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter.

Kerani Pejabat Pos Mini Sungai Tekam Utara, Ili Khairunnisa Mohd Rashid, 22, berkata ketika kejadian beliau sedang sibuk melayan beberapa pelanggan di pejabat pos berkenaan.

"Tiba-tiba terasa gegaran ketika saya sedang menguruskan pembayaran bil pelanggan menyebabkan saya rasa pening," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata gegaran itu turut menyebabkan berlaku sedikit kekecohan di kalangan lima pelanggan dalam pejabat pos berkenaan.

Bagaimanapun, katanya beliau menyangka gegaran itu disebabkan oleh dentuman barang yang jatuh dari dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersebelahan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa yang berlaku pada 9.46 pagi itu berpusat di latitud 3.8 utara dan longitud 102.4 timur.

Pusat gempa terletak 65 kilometer dari timur laut Bentong dan gegaran lemah dirasai di sekitar daerah Jerantut.

Seorang lagi penduduk, Zakaria Mat Hassan, 52, pula berkata beliau menyangkakan gegaran itu disebabkan oleh pergerakan lori di kawasan itu.

"Kita tidak fikirkan ini satu gempa bumi kerana tidak pernah mengalaminya sebelum ini," kata bendahari JKKK kampung itu.

Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai gempa berkenaan selepas dimaklumkan oleh pihak bomba.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerantut, Roslan Abu Talib berkata pihaknya menerima maklumat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut sebelum sepasukan anggotanya melakukan tinjauan di sekitar Sungai Tekam Getah, Tekam Utara dan Kota Gelanggi.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang kecederaan dan kemusnahan berlaku akibat gempa bumi itu.

(Sumber: Bernama - 27/03/2009 - 14:02PM)


Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment