| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran bercadang mengubah sistem peperiksaan ke atas murid tahun satu dengan memperkenalkan penilaian berasaskan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) seperti yang diguna pakai di universiti, mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd.Dom berkata program perintis mengenai cadangan itu yang dijalankan di 50 buah sekolah tahun lalu menunjukkan perubahan sistem peperiksaan sekolah ini sesuai dijalankan.

"Jika mengikut Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), tahun depan kita akan melaksanakan peperiksaan yang berasaskan sekolah. Kita juga melakukan transformasi pendidikan.

"Kurikulum pelajaran akan disusun semula untuk mewujudkan kreativiti di kalangan pelajar, mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris, keusahawanan, sejarah dan menjadikan sekolah sebagai tempat belajar yang seronok," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Menangani Gejala Disiplin Murid di Putrajaya, Selasa.

Bagaimanapun, katanya kementerian tidak akan terburu-buru untuk melaksanakan perubahan itu dan persidangan meja bulat dan bengkel akan diadakan selain mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Jika kita dapati perubahan ini boleh dijalankan, maka kita akan memperkenalkannya di darjah satu dan pra sekolah mulai tahun depan," katanya.

Alimuddin berkata penilaian berasaskan sekolah sebenarnya bukan perkara baru tetapi telah dijalankan melalui ujian bulanan dan ujian akhir tahun di sekolah.

Katanya, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dimansuhkan tetapi akan menggunakan formula 70:30, iaitu 30 peratus diukur dalam peperiksaan UPSR sementara 70 peratus berdasarkan aktiviti luar termasuk peperiksaan berasaskan sekolah.

"Empat elemen yang akan dinilai ialah mengenai psikometrik pelajar, pencapaian ko-kurikulum, peperiksaan berasaskan sekolah dan peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan," katanya.

(Sumber: Bernama - 17/03/2009 21:57PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment