| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran menetapkan hanya tiga kategori sekolah sahaja yang akan wujud pada tahun depan bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat mengenai status dan perjuangan sekolah-sekolah berkenaan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tiga kategori sekolah tersebut ialah :

  1. sekolah kerajaan,
  2. sekolah bantuan kerajaan, dan
  3. sekolah swasta.

"Menjelang tahun 2010 saya nak tengok tiga kategori sekolah saja yang ada sebab saya tak nak orang ramai keliru kerana saya bimbang ada pihak tertentu yang akan mengelirukan dan mengeksplotasi keadaan mengikut kaum dan agama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pakej rangsangan ekonomi peruntukan fizikal berjumlah RM210,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Sungai Getah di Sungai Petani, Selasa.

Beliau berkata sekolah kerajaan merupakan sekolah aliran perdana yang juga sekolah majoriti di negara ini di mana usaha memartabatkan sekolah ini adalah berterusan.

"Sekolah bantuan kerajaan pula sebelum ini kita lihat dalam konteks SJK Tamil dan Cina, sekolah mubaligh dan sekolah agama yang hanya berjuang dalam konteks pemikiran dan perjuangan mereka secara persendirian," katanya.

Hishammuddin berkata sekolah-sekolah bantuan kerajaan akan terus diberi perhatian dan sokongan penuh oleh kerajaan di mana sekolah-sekolah yang daif dan kurang selamat diduduki akan diberi keutamaan.

Sekolah swasta pula, kata beliau dilihat sebagai penjana ekonomi negara pada masa sekarang di mana kecenderungan masyarakat luar untuk memilih sekolah swasta di negara ini berbanding negara lain.

"Sekarang ni orang tak faham dan campur-adukkan. Bila cakap fasal SJK di mana orang samakan dengan sekolah kebangsaan (SK) walhal di sekolah agama bantuan kerajaan yang sama status dengan SJK, tanahnya hak milik sekolah dan lembaga sekolah.

"Ahli lembaga masih ada, di SK tidak ada (ahli lembaga) jadi status dan sejarah berbeza...nak samakan susah tapi kalau tak samakan nanti dieksploitasi oleh kumpulan tertentu yang kata kita menganiayai sekolah yang beraliran lain padahal guru dibekal oleh kita, lembaga kita tak ganggu serta tanah hak milik tetap sekolah dan lembaga," katanya.

Beliau mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengeksploitasikan dan mensensasikan isu-isu pendidikan yang melibatkan kaum dan agama kerana ia boleh memecah-belahkan masyarakat

"Ia menimbulkan emosi, polemik, memecah-belah masyarakat dan bila berlaku, negara tidak stabil dan bila negara tak stabil bagaimana kita mahu pertahankan ekonomi," katanya.

Katanya sekiranya semua pihak tidak bersungguh-sungguh dan mempunyai satu kemahuan politik untuk menangani perkara itu dengan berani, masa depan generasi akan datang akan gelap.

(Sumber: Bernama - 31/03/2009 - 18:16PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment