| 3 comments ]

KECEMERLANGAN Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM), Ayer Keruh, dalam bidang akademik sememangnya sudah terbukti, malah pencapaiannya pernah mengatasi sekolah cemerlang lain termasuk sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Buktinya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, kolej berkenaan berjaya mencatat pencapaian gred purata sekolah 1.33 dengan 79.2 peratus daripada 53 calon mendapat 9A ke atas, sekali gus muncul antara sekolah terbaik SPM peringkat kebangsaan.

Kedudukan sama dicapai pada 2000, 2002 dan 2003, menjadikan KYSM sekolah berprestij yang menjadi pilihan lulusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah meneruskan pengajian peringkat menengah.

Justeru tidak hairanlah, ribuan permohonan diterima daripada pelajar cemerlang setiap tahun berbanding hanya 60 tempat disediakan.

Pengetuanya, Noor Ainun Datuk Seri Yang Rashdi, berkata pencapaian peringkat Penilaian Menengah Rendah tidak kurang hebatnya apabila mencatat keputusan 100 peratus calon mendapat semua A dalam tempoh dua tahun berturut-turut sejak 2007.

Katanya, pencapaian itu selaras misi dan visi KYSM untuk muncul pusat kecemerlangan dalam pelbagai aspek merangkumi bidang akademik, sukan dan kegiatan kokurikulum.

“Kami berpegang teguh pada budaya menyemarakkan ilmu, justeru semangat setiap pelajar dibakar bagi memastikan keupayaan mereka untuk meraih kecemerlangan dalam segala bidang disertai.

“Setiap pelajar dibimbing serta dilatih personaliti dan keperibadiannya menerusi perancangan yang diatur dengan sempurna sebaik pelajar melangkahkan kaki ke kolej itu,” katanya.

Noor Ainun menjelaskan, pemupukan budaya kepimpinan turut menjadi fokus KYSM sebagai persediaan melahirkan generasi pemimpin masa depan dan kapten dalam industri.

Katanya, pelajar kolej itu bukan saja disasarkan mampu memperoleh keputusan terbaik dalam akademik tetapi juga meliputi pelbagai aspek seperti personaliti dan keperibadian.

“Justeru, segala yang ada di kolej ini sudah dilaksanakan mengikut keperluan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka. Ini selaras objektif KYSM yang sentiasa mementingkan penjanaan ilmu dan cintakan kejayaan,” katanya.

Terletak di Ayer Keroh, Melaka, KYSM yang ditubuhkan pada 25 Jun 1995 cetusan idea dan inisiatif bekas Pengerusi Renong Berhad, Tan Sri Halim Saad, dalam usaha memartabatkan ilmu khususnya untuk pelajar berbakat serta berpotensi cemerlang.

Noor Ainun berkata, walaupun berstatus sekolah swasta, fungsi KYSM sama seperti SBP lain di bawah Kementerian Pelajaran.

Katanya, KYSM tertakluk kepada modul dan peraturan Kementerian, tetapi menawarkan pelbagai subjek tambahan dalam modulnya.

Tambahan beberapa subjek seperti muzik, teknologi maklumat dan komunikasi sebagai persediaan mengharungi dunia globalisasi selepas menamatkan pembelajaran.

Dari segi prasarana, kolej itu menyediakan kemudahan bertaraf lima bintang kepada pelajarnya meliputi perpustakaan, kolam renang, gimnasium, bilik berhawa dingin, makmal komputer dan studio muzik lengkap dengan pelbagai peralatan muzik moden dan tradisional.

Penubuhan kumpulan orkestranya pada November 1996 membawa pelajar KYSM merentasi dunia seni muzik global dan menimba pengalaman dengan menyertai pelbagai persembahan di seluruh negara.

Selain pencapaian cemerlang dalam akademik, pelajar kolej itu turut mencatat pencapaian membanggakan dalam bidang sukan.

Malah, pasukan ragbi KYSM adalah antara pasukan digeruni dalam sukan itu dengan kejayaan menundukkan pasukan handal seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar dan King George V, Seremban.

(Sumber: Berita Harian - 22/04/2009)

Makluman lanjut: boleh rujuk di laman web rasmi Kolej Yayasan Saad.

Related Posts by Categories



3 comments

9W2SGN said... @ 8:53 PM

oohhh sekolah lama ku.. hehe...

PakTeh said... @ 11:49 PM

@9W2SGN - ye ke. missed your ole alma mater rite?

9W2SGN said... @ 8:18 PM

of course miss it.. and im the first batch student intake to that prestige school...

Post a Comment