| 0 comments ]

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei (hari Sabtu) ini dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei (hari Ahad).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh keluar writ ditetapkan pada hari ini manakala tarikh notis dikeluarkan pada Khamis ini.

"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 17 April berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya N.12 Penanti berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan Mohammad Fairus Khairuddin melalui suratnya bertarikh 19 Mac 2009.

"Sehubungan ini, setelah meneliti pemakluman oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta salinan surat peletakan jawatan oleh ADUN berkenaan yang dilampirkan bersama pemakluman tersebut maka SPR dengan ini bersetuju bahawa kerusi bahagian pilihan raya DUN N.12 Penanti adalah disahkan kosong berkuat kuasa 17 April lalu," katanya pada persidangan akhbar di Putrajaya hari ini.

Mohammad Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Abdul Aziz berkata Daftar Pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemaskini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, katanya 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

Beliau berkata SPR mensasarkan kira-kira 80 peratus jumlah pengundi yang akan keluar mengundi pada hari tersebut memandangkan hari mengundi adalah hari Ahad, di mana sebanyak 82.1 peratus pengundi keluar mengundi untuk kawasan itu pada pilihan raya umum lalu.

Katanya SPR akan menggunakan Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi manakala bagi urusan pengundian pos, proses pengeluaran dan pengiraan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.

Sebanyak 9 buah pusat mengundi membabitkan 8 buah sekolah dan sebuah dewan dengan 32 tempat mengundi (saluran) serta 242 petugas akan terbabit dalam pengendalian pilihan raya ini.

(Sumber: Bernama, BHarian - 27/04/2009 - 11.49AM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment