| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran mungkin akan mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis.

Ini bagi memastikan keadilan dalam pemberian biasiswa kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, katanya.

"Patut diselaraskan jumlah mata pelajaran yang setiap pelajar boleh ambil...kenapa mereka perlu ambil 20 mata pelajaran sedangkan ada yang tidak diajar di sekolah dan hanya belajar di kelas tuisyen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Puteri Umno di pejabatnya di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sistem sedia ada dalam pemberian biasiswa berdasarkan jumlah A yang diperoleh pelajar patut diubah.

Sebagai contoh, katanya pelajar yang mendapat 14A akan mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapat biasiswa tetapi ini adalah tidak adil kepada mereka yang hanya dibenarkan mengambil sembilan mata pelajaran walaupun mereka mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.

"Pastinya, pelajar di sekolah berasrama penuh yang hanya dibenarkan mengambil sembilan atau 10 mata pelajaran tidak dapat bersaing dengan mereka yang memperoleh lebih banyak keputusan A," katanya.

Muhyiddin berkata beliau tidak mempertikaikan mereka yang memperoleh banyak A tetapi keadaan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar yang hanya dibenarkan mengambil jumlah mata pelajaran tertentu.

Katanya perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak paad 25 Mei.

(Sumber: Bernama - 21/05/2009 - 20:57 PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment