| 0 comments ]

Kerajaan telah meluluskan pertambahan kuota Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) sebagai Guru Cemerlang bagi Gred DGA32 dan DGA34 selain mewujudkan gred baru DGA 38.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata ianya berkuat kuasa serta-merta.

"Ini berita baik bagi guru-guru yang terlibat, jadi saya harap mereka semua berpuas hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Khamis.

Menurut Muhyiddin, sebanyak 600 kuota jawatan Guru Cemerlang ditambah untuk Gred DGA32 menjadikan 3,800 manakala bagi Gred DGA34, sebanyak 150 kuota ditambah menjadikan jumlahnya 950.

Gred DGA38 pula melibatkan pengwujudan 237 kuota jawatan Guru Cemerlang, katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan memperuntukkan 10 peratus daripada kuota setiap gred kepada PPLD yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran,
Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Pendidikan Daerah.

"PPLD Gred DGA32 diperuntukkan sebanyak 380 jawatan, PPLD Gred DGA34 sebanyak 95 jawatan manakala PPLD Gred DGA38 pula sebanyak 24 jawatan," katanya.

Mengenai keputusan berhubung pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, Muhyiddin berkata beliau akan mengumumkannya "dalam tempoh yang tidak terlalu lama".

"Saya pun, kalau boleh nak cepat, tapi saya baru masuk (kementerian). Bagi saya peluang sedikit," katanya.

(Sumber: Bernama - 21/05/2009 - 22:26PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment