| 0 comments ]

Pemilihan calon-calon untuk ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program ijazah luar negara adalah dibuat secara adil kepada semua pelajar berkelayakan di negara ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Bagaimanapun, kerajaan tidak berupaya menawarkan biasiswa itu kepada semua pemohon kerana jumlah biasiswa berkenaan terhad kepada 2,000 pelajar dan bilangan itu sahaja sudah melibatkan perbelanjaan berjumlah kira-kita RM740 juta setahun.

Daripada 2,000 tempat yang ditawarkan itu, 20 peratus adalah dikhaskan kepada pelajar genius tanpa mengira kaum, 10 peratus diperuntukkan kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak (lima peratus setiap negeri), 10 peratus lagi kepada kumpulan yang kurang beruntung dan selebihnya kepada pelajar-pelajar mengikut komposisi kaum.

Bercakap pada majlis dialog dengan editor-editor media di pejabatnya di sini petang ini, Mohd Sidek berkata kerajaan juga telah menetapkan panel temuduga tiga anggota terdiri daripada ahli profesional seperti doktor dan jurutera dan bukan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Seorang daripada tiga orang panel tersebut terdiri daripada bukan Melayu, tambahnya.

Majlis dialog bulanan itu bertujuan selain memupuk persefahaman dan kerjasama antara media dan perkhidmatan awam, juga memberi kesempatan kepada pihak media mendapatkan penjelasan langsung mengenai isu berkaitan.

Sidek juga berkata bagi memastikan pelajar tajaan JPA berkhidmat dalam sektor awam selepas tamat pengajian, kerajaan baru-baru ini membuat keputusan tidak lagi menimbang permohonan pelajar untuk mendapatkan pelepasan daripada kontrak biasiswa.

Katanya sebelum ini kerajaan memberi pelepasan kepada beberapa pemegang biasiswa yang tidak berminat untuk berkhidmat di sektor awam selepas tamat pengajian kerana faktor seperti gaji yang ditawarkan kurang kompetitif berbanding apa yang ditawarkan oleh sektor swasta.

"Pemegang biasiswa harus menyedari bahawa mereka mesti berkhidmat kepada kerajaan yang telah banyak mengeluarkan perbelanjaan untuk membiayai pelajaran mereka," katanya.

Ketua Setiausaha Negara menjelaskan bahawa kerajaan tidak mampu untuk menawarkan tempat yang lebih banyak bagi biasiswa program ijazah luar negara itu kerana ia akan membabitkan perbelanjaan yang lebih besar.

"Bayangkan jika jumlah ini dinaikkan sekali ganda, perbelanjaan akan juga berganda menjadi kira-kira RM1.5 bilion," katanya.

Lagi pun tempat yang ditawarkan kepada pelajar Malaysia adalah terhad, jelasnya.

Mengenai rungutan bahawa golongan bumiputera mendominasi sektor awam berbanding kaum lain, beliau menjelaskan kerajaan ingin lebih banyak kaum bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam tetapi masalahnya bilangan mereka yang memohon untuk menjadi penjawat awam tidak banyak.

Ada juga pemegang biasiswa JPA daripada kalangan bukan bumiputera yang memohon dibebaskan daripada ikatan kontrak kerana tidak tertarik dengan gaji yang ditawarkan oleh sektor awam, tambahnya.

(Sumber: Bernama - 2/6/2009 - 21:22pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment