| 0 comments ]

Penubuhan Bank Data Kemiskinan Negara (eKasih) bertujuan menyelaraskan maklumat mengenai penerima bantuan yang layak bagi mengelakkan pertindihan penyampaian bantuan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamany.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa sistem eKasih akan dapat memastikan penyampaian bantuan dilaksana dengan lebih berkesan memandangkan pelbagai kementerian dan agensi terlibat dalam usaha pembasmian kemiskinan.

"Melalui eKasih, maklumat peserta yang layak menerima bantuan boleh diakses bagi tujuan perancangan, permohonan bantuan dan penentuan saluran penyampaian bantuan yang bersesuaian.

"Ini termasuklah mereka yang tersenarai layak untuk menerima bantuan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR)," katanya ketika menjawab soalan Datuk Tiong King Sing (BN-Bintulu).

Devamany berkata eKasih dibangunkan untuk menyeragamkan maklumat Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) miskin dan miskin tegar.

"Maklumat ini meliputi kawasan luar bandar dan bandar, termasuk mereka yang tersenarai di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR)," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menyerahkan kepada satu agensi sahaja bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan.

(Sumber: Bernama - 15/06/2009 - 16:54pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment