| 0 comments ]

Malaysia menduduki tempat ke-26 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2009, daripada 144 negara yang dibuat kaji selidik, naik empat anak tangga berbanding kedudukan pada tahun lepas.

GPI, yang kini memasuki tahun ketiganya dan disusun oleh Economist Intelligence Unit, mendedahkan bahawa Malaysia mendapat markah baik kerana jumlah anggota perkhidmatan bersenjatanya yang tinggi bagi setiap 100,000 orang.

Malaysia juga menduduki tempat kelima daripada 25 negara di rantau ini.

Indeks berkenaan, yang disiarkan hari ini, turut menunjukkan hubung kait antara keamanan dan kekuatan ekonomi sesebuah negara, kerana kejatuhan ekonomi global boleh membawa kepada berkurangnya keamanan dan kestabilan di sesebuah negara.

"Kini, dalam tahun ketiganya, punca keamanan menjadi semakin jelas dan faedah ekonomi benar kepada manusia amat besar. Keamanan tidak memiliki nilai ekonomi, selain nilai-nilai kemanusiaan sebenar yang mempunyai kaitan dengannya," kata pengasas GPI Steve Killelea dalam kenyataan di sini.

Dengan menyebut Iceland sebagai contoh utama, beliau berkata negara yang menduduki tempat teratas dalam indeks itu pada tahun lepas, telah jatuh ke tempat keempat berikutan kejatuhan sistem kewangannya.

"Penyelidikan yang dijalankan mendapati kesan kehilangan keamanan terhadap ekomomi dunia bagi tempoh 10 tahun bernilai AS$48 trilion," katanya.

Data berkenaan dikumpul dengan menggunakan julat meluas melibatkan 23 petunjuk kualitatif dan kuantitatif bagi mengukur keamanan sesebuah negara secara dalaman dan luaran, termasuk tahap demokrasi dan ketelusan, pendidikan dan kebahagiaan daripada segi harta benda.

New Zealand dinobatkan sebagai negara paling aman, diikuti Denmark dan Norway.

Indeks itu juga menunjukan bahawa negara demokrasi yang kecil dan stabil sering menduduki tempat teratas dan 14 daripada 20 negara yang menduduki tempat teratas adalah negara barat dan negara di Eropah tengah. Kesemua lima negara Scandinavia menduduki 10 tempat teratas dalam GPI tahun ini.

Bagi tiga tahun berturut-turut, negara yang paling tidak aman ialah Iraq, diikuti Afghanistan dan Somalia. Madagascar pula merupakan negara yang jatuh paling teruk akibat suasana politiknya yang semakin tidak stabil dan wujudnya tunjuk perasaan secara ganas.

Bosnia Herzegovina pula muncul sebagai negara yang mencapai peningkatan paling tinggi apabila naik 23 anak tangga daripada tempat ke-73 pada tahun lepas.

Kaji selidik yang dijalankan juga mendapati tiga negara kuasa tentera-diplomatik utama dunia terus mencatat kedudukan yang boleh dikatakan agak rendah, dengan China menduduki tempat ke-74, Amerika di tempat ke-83 dan Rusia di tempat ke-136.

Negara anggota G8, selain Russia, Amerika dan United Kingdom (tempat ke-35), mencatat pencapaian baik, dengan Jepun menduduki tempat ketujuh, Kanada di tempat kelapan dan Jerman berkongsi di anak tangga ke-16.

Kaji selidik itu juga mendedahkan satu lagi penemuan penting iaitu negara yang baru menganggotai Kesatuan Eropah (EU) mencatat pencapaian baik, dengan Slovenia dan Republik Czech, masing-masing menduduki tempat kesembilan dan ke-11.

(Sumber: Bernama - 2/6/2009 - 23:06pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment