| 0 comments ]

India dan Malaysia telah memutuskan untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menangani semua isu berkaitan pengajian tinggi antara kedua-dua negara, kata Menteri Pembangunan Sumber Manusia India - Kapil Sibal hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu akan mengemukakan satu laporan dalam tempoh tiga bulan kepada menteri yang bertanggungjawab mengenai pengajian tinggi India dan Malaysia untuk membolehkan mereka memutuskan tindakan selanjutnya.

Menteri India itu berkata isu-isu yang akan ditangani pasukan petugas khas itu meliputi hal-hal berkaitan pengiktirafan ijazah perubatan.

"Idea di sebalik penubuhannya (pasukan petugas khas ini)... kami mahu melihat aliran bebas penuntut daripada satu sistem ke sistem lain... daripada institusi pendidikan ke institusi yang lain antara India dan Malaysia," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai pengajian terbuka dan jarak jauh di Asia e University (AeU), di Kuala Lumpur.

Kapil Sibal berkata sebarang kesulitan mengenai pembangunan pengajian tinggi antara India dan Malaysia akan ditangani oleh pasukan petugas khas bagi mencari jalan menyelesaikan masalah berkenaan.

"Terdapat pelbagai isu... bagaimana mahu menangani... menyelesaikannya. Ini merupakan suatu tugas bagi pasukan petugas khas untuk mencadangkannya kepada kami," kata Kapil Sibal, yang portfolio tugasnya meliputi pendidikan rendah, menengah dan tinggi serta latihan vokasionla serta pembangunan modal insan.

Kapil Sibal berkata India, dengan kira-kira 350 universiti dan 20,000 kolej, merupakan satu pusat pendidikan manakala Malaysia juga berhasrat menjadi pusat pengajian dan kini berusaha menarik penuntut dari banyak negara.

"Kami ingin mengambil peluang dasar pintu terbuka Malaysia dan berharap membawa masuk institusi-institusi ke sini dan pada masa sama menerokai kemungkinan mempunyai universiti asing di India," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam semalam, Kapil Sibal berkata India dan Malaysia memutuskan untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi mencari peluang-peluang usahasama dalam bidang-bidang pembangunan kemahiran dan latihan vokasional.

Beliau berkata Malaysia mempunyai banyak pengalaman dalam kedua-dua bidang pembangunan sumber manusia dan India mahu mempelajarinya dari Malaysia.

Sementara itu, pada satu majlis lain di tempat sama, Kapil Sibal menyempurnakan pelancaran awal Pameran Pendidikan India 2009, yang julung kali diadakan, dijadulkan berlangsung di pusat membeli-belah Mid Valley Mega Mall di sini pada Sabtu dan Ahad ini.

(Sumber: Bernama - 18/06/2009 - 16:00pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment