| 0 comments ]

Pelancaran MEASAT-3a Di Maikonur Cosmodrome, Kazakhtan Pada 22-06-2009

Satelit terbaru Malaysia, MEASAT-3a berjaya dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhtan mengikut jadual pada pukul 5.50 pagi waktu Malaysia di sini pada hari ini (Isnin) - 22 Jun 2009.

Satelit komunikasi bernilai AS$165 juta itu yang dilancarkan dalam cuaca sejuk dan berangin, adalah bagi meningkatkan lagi kapasiti satelit Measat Satellite Systems Sdn Bhd. Syarikat itu kini mempunyai empat satelit di orbit.

Perbezaan masa antara Kazakhstan dan Malaysia adalah dua jam yang bermakna satelit itu dilancarkan di Baikonur pada pukul 3.50 pagi.

MEASAT-3a sepatutnya dilancarkan pada Ogos tahun lepas tetapi kemalangan kren merosakkannya semasa persediaan untuk pelancaran dan terpaksa dibawa kembali ke Dulles di Washington untuk dibaiki.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang mengetuai kumpulan 50 anggota menyaksikan pelancaran satelit keempat Measat itu gembira dengan kejayaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu lagi peningkatan kemampuan penyiaran Malaysia.

Mereka yang menyaksikan pelancaran itu kagum dengan tenaga roket yang membelah angkasa dan secara spontan bertepuk tangan sebaik pelancaran.

Rais berkata ini merupakan kali pertama beliau menyaksikan pelancaran satelit.

Bakal beroperasi pada Julai, MEASAT-3a akan menggantikan MEASAT-1 yang dijadualkan tamat operasinya pada 2015. Satelit MEASAT-3a dilancarkan ke orbit oleh pengangkut pelancar Zenit-3SLB bagi perjalanannya sehingga lokasi akhir pada 91.5 darjah Longitud Timur.

Rais berkata beliau berbangga dengan kejayaan pelancaran satelit berkenaan memandangkan ia akan membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam perniagaan satelit antarabangsa serta penyiaran.

Ia juga akan meletakkan satu asas bagi rakyat Malaysia sendiri untuk mereka bentuk, mewujudkan dan mengeluarkan satelit mereka sendiri di masa depan dan tidak bergantung kepada pihak lain atau terhad kepada membuat komponen sahaja, katanya.

Beliau juga menyifatkan kejayaan pelancaran tu sebagai satu rangsangan kepada industri kreatif Malaysia.

Pelancaran satelit MEASAT-3a seberat 2,417 kilogram yang disaksikan sekumpulan rakyat Malaysia di kawasan gurun di Kazakhstan, beberapa kilometer dari tapak pelancaran, disiarkan secara langsung di Awani, saluran 501 Astro.

Antara yang menyaksikan pelancaran itu ialah Ketua Pegawai Operasi Measat, Paul Brown-Kenyon, Peguam Korporat Measat Farah Suhanah Ahmad Sarji dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Telekom Malaysia Bhd (TM) Datuk Zam Zamzairani Mohd Isa.

Pelancaran MEASAT-3a, yang dikeluarkan oleh Orbital Sciences Corp of Dulles, Amerika Syarikat itu juga menjadi satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan bagi 14 pelajar cemerlang dari Malaysia, India, Indonesia, Filipina dan United Kingdom. Mereka dipilih oleh Measat untuk mengalami satu peluang sekali dalam seumur hidup.

Antara pelajar itu ialah lima pelajar Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007. Ia merupakan satu impian yang menjadi kenyataan bagi Ahmad Ruiz Mohd Asri dari Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur; Edmund Chen Min Lau dari Kuching, Sarawak; Lina Na'ilah Abdul Talip dari Kajang; Chandra Sekhar Kuppusamy dari Johor Baharu, dan Cliff Asher R. Ongil dari Beaufort, Sabah.

(Sumber: Bernama - 22/06/2009 - 9:09AM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment