| 0 comments ]

Kerajaan bersedia mengkaji kemungkinan melanjutkan tempoh perlindungan insurans bagi pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) daripada tiga hari kepada dua minggu sebelum dan dua minggu selepas mereka keluar dari kem.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kerajaan bersedia membuat kajian itu selepas beberapa anggota Parlimen membangkitkan isu berkenaan.

"Kita berlapang dada dan bersedia menerima cadangan anggota-anggota Yang Berhormat. Kalau perlu dua minggu sebelum dan dua minggu selepas ada perlindungan, berikutan masa lama diperlukan doktor untuk mengesan penyakit yang kompleks," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang PLKN di Kuala Lumpur, Selasa.

Beberapa anggota Parlimen dalam sesi perbahasan rang undang-undang itu membangkitkan isu tempoh perlindungan insurans yang dikatakan terlalu pendek sehingga ada kes pelatih yang sakit atau meninggal dunia selepas tamat latihan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Dr Abdul Latiff berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa ini, pelatih PLKN dilindungi skim insurans berkelompok sebanyak RM40,000 seorang jika ditimpa kemalangan sepanjang tempoh tiga bulan menjalani latihan, tiga hari sebelum memasuki kem dan tiga hari selepas menamatkan kursus itu.

Dalam pada itu, Abdul Latiff menempelak Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang mencelah sesi penggulungan itu bagi mencadangkan supaya kursus PLKN dihentikan sementara, kerana mendakwa terdapat banyak kelemahan, termasuk jumlah kematian pelatih yang tinggi dan bilangan jurulatih bukan Melayu yang sedikit.

"Pada tahun 2003, ketika Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara mula dibentangkan, Batu Gajah (Fong) sudah minta program ini ditangguhkan. Beliau dari dulu sampai sekarang tidak pernah berubah.

"Cadangan ini tidak boleh diterima kerana takkan kerana ada 11 kematian di institusi pengajian tinggi awam dan 12 orang murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina maka sesi pengajian di semua universiti dan sekolah perlu ditangguhkan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bilangan jurulatih kaum Cina dan India kini masing-masing sebanyak 40 orang dan 24 orang daripada keseluruhan 2,898 jurulatih PLKN.

Menyedari hakikat itu, kata Dr Abdul Latiff, kerajaan memberi jaminan untuk memperhebatkan lagi kempen penerangan bagi menarik lebih ramai kaum lain sebagai jurulatih PLKN.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan.

(Sumber: Bernama - 16/06/2009 - 18:34pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment