| 0 comments ]

Universiti Sains Malaysia (USM) muncul universiti pertama di negara ini yang menerapkan garis panduan pengukuran kelestarian bangunan menggunakan "Indeks Binaan Hijau" (GBI) dalam modul latihan dan pengajaran di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangannya.

Indeks itu, yang dibangunkan oleh Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), merupakan mekanisme pertama yang diwujudkan di negara ini bagi mengukur tahap kelestarian sesebuah bangunan.

Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, melalui kerjasama dengan PAM itu, universiti berkenaan dapat melahirkan graduan terlatih dan memahami tanggungjawab untuk menghasilkan rekabentuk bangunan yang menepati garis panduan itu pada masa akan datang.

Berucap pada majlis penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) antara USM dan PAM di Pulau Pinang, beliau berkata, indeks itu akan diterapkan dalam program Senibina, Perancangan Bandar dan Wilayah, Ukur Bahan, Pengurusan Binaan, Rekabentuk Dalaman dan Teknologi Bangunan.

Katanya, antara penekanan dalam indeks itu ialah mewujudkan rekabentuk dan binaan yang bukan sahaja lestari malahan boleh menjimatkan penggunaan tenaga, menjaga ekosistem dan mewujudkan persekitaran gaya hidup selamat.

Katanya, indeks itu akan mula digunapakai untuk tujuan latihan kepada pelajar USM pada awal Julai ini dan USM mungkin menggunakan indeks itu untuk mengukur kelestarian binaan telah dan bakal dibangunkan di sekitar kawasan kampusnya.

Sementara itu, Presiden PAM Lee Chor Wah berkata, setakat ini indeks itu mengukur tahap kelestarian binaan bangunan komersil dan kediaman dan pada hujung tahun ini, ia akan diperluaskan kepada perancangan induk pembangunan kawasan.

Beliau berkata, melalui indeks itu, setiap binaan akan diberi penarafan platinum, emas, perak atau diperakui lulus sahaja dan setakat ini PAM telah mengenalpasti 11 buah bangunan sebagai projek perintis untuk diberi penarafan itu.

Katanya, Malaysia perlu mengamalkan indeks berkenaan untuk menarik pelaburan asing ke negara ini memandangkan banyak negara lain seperti Singapura, Jepun dan United Kingdom sudah mempunyai garis panduan sedemikian.

"Kebanyakan pelabur asing akan melihat sama ada binaan di sesebuah negara telah mempunyai indeks atau garis panduan ukuran kelestarian sebagai penanda aras untuk mereka menerokai pelaburan di negara berkenaan," katanya.

(Sumber: Bernama - 19/06/2009 - 19:36pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment