| 0 comments ]

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih satu bilion manusia seluruh dunia mengalami masalah berat badan dan jika berterusan kadar obesiti akan meningkat sehingga 1.5 bilion menjelang 2015.

Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Datuk Dr Lokman Saim dalam kajian Morbiditi dan Kesihatan Kedua 1996 mendapati sebanyak 16.6 peratus orang dewasa mengalami berat badan berlebihan dan 4.4 peratus lagi tergolong dalam kumpulan obes.

"Ini bermakna satu daripada lima orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan dan keadaan ini sangat membimbangkan kerana kegemukan lazimnya dikaitkan dengan penyakit kronik kardiovaskular, kencing manis dan darah tinggi.

"Pencegahan dan perawatan hendaklah dilakukan di peringkat awal dengan mengamalkan pemakanan seimbang selain amalan gaya hidup sihat," kata Dr Lokman semasa merasmikan Program Kesedaran Obesiti peringkat PPUKM di Lobi Utama PPUKM di Kuala Lumpur hari ini.

Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut mengadakan pameran, melakukan analisis lemak, pameran makanan dan indeks jisim badan (BMI).

Dr Lokman berkata program ini adalah satu usaha mengalakkan orang ramai menyedari tentang masalah obesiti sekaligus memberi pendidikan dan rawatan berkaitan gejala tersebut.

"Penganjuran program seperti ini secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan dalam menyokong usaha kerajaan bagi membentuk kesedaran kesihatan di kalangan warga kerja PPUKM khususnya dan rakyat Malaysia amnya," jelas Lokman.

Seorang pengunjung program tersebut, Husin Hasan, 62, dari Tampin, Negeri Sembilan berkata program ini mampu membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap masalah obesiti dan pemilihan makanan yang berkhasiat.

(Sumber: Bernama - 3/6/2009 - 15:52pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment