| 0 comments ]

Kementerian Pengajian Tinggi akan menyediakan kertas cadangan bagi menambah bilangan fakulti perubatan dan menyediakan hospital pengajar di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam tempoh terdekat ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu antara kaedah terbaik untuk menambah bilangan penuntut dan tenaga pakar dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, perancangan itu bukan saja dapat menambah jumlah penuntut perubatan tetapi diyakini mampu meningkatkan hasil kajian dan pembangunan dalam bidang berkenaan pada masa akan datang.

“Ia masih di peringkat perancangan dan kementerian sedang berusaha menyiapkan kertas kerja berhubung cadangan itu secepat mungkin untuk dibentangkan ke Kabinet.

“Kita akan mengkaji secara terperinci bagi melihat pendekatan terbaik merealisasikan cadangan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan laman web sistem profil My Tag di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dekat Johor Bharu hari ini.

Laman web berkenaan direka khas bagi memberi data saintifik seseorang individu, emosi dan minat kerjaya mengikut prinsip psikologi dan budaya masyarakat Malaysia.

Ia merupakan alat pengukur yang menyemak sesuatu hipotesis dan membuat keputusan mengenai tindak balas manusia dengan persekitaran.

Mohamed Khaled berkata, pada masa ini, hanya tiga universiti yang memiliki hospital pengajar dan menawarkan kursus perubatan kepada orang ramai.

Beliau berkata, bilangan itu tidak mencukupi untuk menampung jumlah pertambahan belajar yang berminat untuk mengikuti kursus berkenaan dan menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan pendidikan di luar negara.

“Hanya Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia yang memiliki kemudahan lengkap untuk para penuntut jurusan perubatan dan kuota yang ditetapkan adalah terhad.

“Ia secara tidak langsung membantutkan usaha kerajaan untuk menambah bilangan tenaga pakar dan membataskan usaha meningkatkan kajian dalam bidang perubatan,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan menyokong usaha UTM jika ia bercadang untuk mewujudkan fakulti perubatan di universiti tersebut.

“Seperti yang kita ketahui, UTM merupakan universiti yang mempunyai asas kukuh dalam bidang kejuruteraan dan sudah sampai masanya untuk mereka mewujudkan sebuah fakulti perubatan bagi menampung keperluan semasa,” katanya.

(Sumber: Utusan Malaysia - 1/7/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment