| 0 comments ]

Sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khusus untuk menempatkan pelajar cemerlang anak tentera dan bekas tentera akan dibina tidak lama lagi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata persetujuan awal telah dicapai dengan Mara bagi pembinaan MRSM itu yang dicadang dibina di Perak.

"Kurikulumnya adalah sedikit berbeza yang mana selain ditekankan akademik ia juga memberi tumpuan kepada bidang keagamaan iaitu hafazan al-Quran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bekas Tentera Malaysia di Masjid Seri Wangsa, Manik Urai Lama di sini, Khamis.

Beliau berkata MRSM itu kelak akan menumpukan pada pelajaran duniawi dan ukhrawi.

Selain itu Ahmad Zahid berkata Maktab Tentera Diraja juga akan dinaik taraf bagi membolehkan pengambilan lebih banyak pelajar pada masa depan.

Apabila dinaik taraf kelak, katanya jumlah pengambilan pelajar daripada 500 pada satu-satu masa sekarang akan dapat ditingkatkan kepada sehingga 1,000 pelajar.

"Pelajar yang memperolehi enam kredit ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberi peluang untuk belajar di maktab ini," katanya.

Pada majlis itu seramai tujuh bekas tentera yang telah berkhidmat bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 menerima Pingat Jasa Malaysia.

(Sumber: Bernama - 02/07/2009 - 17:45pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment