| 0 comments ]

Lima Sekolah Rendah Agama (SRA) di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dipilih sebagai sekolah perintis yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata pemilihan sekolah itu bertujuan menjadi model untuk dicontohi jabatan agama di negeri lain supaya turut menggunakan ICT di peringkat Sekolah Rendah Agama.

Antara SRA yang dipilih ialah SRA Al-Mubarakah, SRA Al-Watan, SRA Taman Ibu Kota, SRA Segambut Dalam dan SRA Kampung Pasir Baru yang semuanya terletak di sekitar kawasan Kuala Lumpur, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Integrasi ICT SRA dan mengumumkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2009 di sini, Rabu.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Pengerusi Telekom Smart School Sdn Bhd, Fazlur Rahman Zainudin.

Jamil Khir berkata projek Integrasi ICT SRA telah bermula sejak November tahun lepas di lima sekolah berkenaan dan JAWI akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan penggunaan ICT di sekolah-sekolah agama lain di Wilayah Persekutuan pada tahun depan.

Beliau berkata JAWI dan jabatan agama di negeri-negeri di seluruh negara sebagai pentadbir SRA akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan imej sekolah rendah agama setaraf dengan sekolah rendah kebangsaan di bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran.

Sementara itu, seramai 114 calon atau 2.4 peratus daripada 4,792 calon memperoleh keputusan A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) peringkat JAWI tahun ini.

Mata pelajaran Tajwid dan Sirah juga menunjukkan peningkatan mendadak dari tahun ke tahun sejak 2006, katanya.

Selain itu, 10 calon UPSRA disenaraikan sebagai pelajar terbaik 2009.

Asma Abdul Halim, 12, dari Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun, Kuala Lumpur dipilih sebagai pelajar terbaik UPSRA 2009 peringkat JAWI dengan memperolehi 95.7 peratus.

Selain itu, SRA Sri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur dipilih sebagai Sekolah Cemerlang UPSRA 2009.

(Sumber: Bernama - 09/12/2009 - 20:43pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment