| 0 comments ]

Peguam terikat dengan ketetapan menggunakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia dalam prosiding mahkamah, menurut penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan semasa menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bahasa Malaysia mesti digunakan bukan sahaja semasa prosiding tetapi juga dalam memfailkan dokumen-dokumen mahkamah, kata Hakim Abdul Malik Ishak dalam penghakiman setebal 31 muka surat bertarikh 2 Nov dan diedarkan kepada pemberita Rabu.

Pada 10 Okt, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menolak rayuan Anwar atas alasan memorandum rayuan difailkan Anwar dalam bahasa Inggeris adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah.

"Keutamaan Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu dalam mahkamah kita tidak boleh dinafikan. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama-sama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan semua prosiding, selain daripada memberi keterangan oleh seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan mahkamah rendah mesti dalam bahasa kebangsaan.

"Peraturan 101, Peraturan-peraturan Mahkamah Rayuan 1994 menetapkan dokumen-dokumen perlu dalam bahasa kebangsaan. Oleh itu, kegagalan di pihak perayu untuk memfailkan memorandum rayuan dalam Bahasa Malaysia menyebabkan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak boleh digunakan"

(Hakim Abdul Malik)


Beliau berkata mahkamah perlu menguatkuasakan keperluan memfailkan dokumen mahkamah dalam bahasa Malaysia seperti ditetapkan oleh undang-undang.

Memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris yang difailkan Anwar secara terang-terangan melanggar undang-undang dan perlu ditolak, katanya.

"Perayu mesti memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan. Tiada bahasa lain akan dilayani dan tidak layak sebagai rekod rayuan," kata beliau.

Anwar memfailkan saman pada 26 Jan, 2006, mendakwa kenyataan Tun Mahathir yang menggelarnya sebagai seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan mengaibkannya secara peribadi dan kapasiti rasminya sebagai bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.

Pada 4 Julai, 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman itu dengan kos selepas membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan saman itu.

Anwar kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.

Pada 10 Okt, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan rayuan itu dan memerintahkan Anwar membayar kos.

Hakim Abdul Malik berkata: "Semuanya silap berhubung rayuan itu dan secara terang-terangan melanggar peraturan di pihak perayu dalam kes ini.

"Memburukkan lagi keadaan, memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris itu juga tidak ditandatangani oleh peguam yang mewakili perayu dan dengan itu menyebabkannya tidak sah dan tiada mempunyai sebarang kesan."

Peguam Karpal Singh dan S.N.Nair mewakili Anwar manakala peguam Datuk V.K.Lingam dan R. Thayalan mewakili Dr Mahathir.

(Sumber: Bernama - 09/12/2009 - 16:21pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment