| 0 comments ]

Perkhidmatan tren elektrik untuk perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban dijadual bermula April depan dengan ketibaan unit pertama set tren elektrik (ETS) dari Korea Selatan di sini Selasa.

Unit tren elektrik serba moden itu, yang dibekalkan oleh CMK Konsortium dengan kerjasama Hyundai Rotem dari Korea Selatan dan Mitsubishi Electric Corporation (Melco) dari Jepun, merupakan unit pertama daripada lima yang telah ditempah untuk perkhidmatan tersebut, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata tren terpantas itu yang pernah dimiliki oleh KTM Berhad dengan kelajuan maksimum 140 kmj akan memendekkan tempoh perjalanan antara Ipoh-Kuala Lumpur kepada 1 jam 55 minit berbanding pada masa ini dua jam 50 minit dengan perkhidmatan shuttle Ipoh-Kuala Lumpur.

"Sementara itu, empat lagi set (ETS) dijangka diperolehi secara berperingkat sehingga Februari tahun hadapan," katanya pada majlis ketibaan tren itu di Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Ong berkata perkhidmatan tren ETS itu akan beroperasi antara Ipoh-Seremban-Ipoh dengan jangkaan waktu perjalanan sehala kurang dari tiga jam dan berhenti di stesen-stesen utama yang akan ditentukan kelak.

Setiap unit tren itu, yang dilengkapi dengan kemudahan litar tertutup di setiap gerabak bagi mengawasi keselamatan penumpang, koc buffet, skrin LCD, soket elektrik serta kemudahan tandas, terdiri daripada enam gerabak keretapi yang boleh memuatkan seramai 350 penumpang pada satu-satu perjalanan, kata Ong.

Beliau berkata kemudahan tren tersebut turut menampung keperluan penumpang kurang upaya (OKU), di mana kemudahan tandas serta ruang tempat duduk khas, turut disediakan.

" Tren ini juga akan dilengkapi dengan pramugari bagi membantu pengguna ETS dan temuduga untuk jawatan itu kini diadakan secara terbuka di Stesen Kuala Lumpur," katanya.

Ong juga berkata beliau difahamkan perkhidmatan ETS akan beroperasi secara berasingan dan akan dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh KTM Berhad.

" Semoga dengan langkah tersebut perkhidmatan ETS ini akan mampu beroperasi secara total dan akan membantu memenuhi aspirasi kerajaan dalam membudayakan penggunaan pengangkutan awam," katanya.

Beliau juga berharap dengan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam, lebih ramai penduduk terutama di Lembah Klang akan menggunakannya dan misi utama di bawah NKRA (National Key Result Area) iaitu memastikan 25 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam menjelang akhir 2012 akan tercapai.

"Kini baru 12 peratus penduduk iaitu seramai 240,000 orang awam menggunakan perkhidmatan awam, dengan perkiraan 25 peratus, kita menjangkakan 600,000 orang awam akan menggunakan perkhidmatan awam," katanya.

Tren elektrik ini turut dipamerkan kepada orang ramai di Stesen Keretapi Kuala Lumpur hari dan esok dari pukul 9 pagi hingga 5 petang untuk tujuan mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

(Sumber: Bernama - 15/12/2009 - 15:52pm)

Lepas ni, kalau boring2 waktu cuti.. boleh le jalan-jalan Ipoh-KL-Seremban tak payah drive kereta. Best.. Nanti kita tunggu kat mana stesen-stesen utama-utama itu. Yg penting.. salah-satunya mesti area KLIA/LCCT. Lagi jauh boleh berjalan.

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment