| 1 comments ]

SELANGOR - PERLIS - KEDAH - SABAH - KL - JOHOR
- MELAKA - NEGERI SEMBILAN - SARAWAK - PERAK - TERENGGANU -
PULAU PINANG - KELANTAN


Beberapa Laporan Analisis Mengikut Negeri

SELANGOR
Di Selangor, mencatatkan peningkatan daripada segi jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam kesemua matapelajaran yang diambil dengan 8.81 peratus atau 6,592 pelajar daripada 74,855 calon yang menduduki PMR mendapat kesemua A.

SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi muncul sebagai sekolah harian terbaik dalam PMR 2009.

Pengarah Pelajaran Negeri, Dr. Zahri Aziz berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus berbanding tahun lalu di mana 6,005 pelajar mendapat keputusan yang sama. Di samping itu, purata pencapaian pelajar yang dikategorikan dalam gred purata skor (GPS) termasuk keputusan lulus dengan minimum gred D berada pada paras 2.63 berbanding keputusan tahun lalu sebanyak 2.68 iaitu peningkatan sebanyak 0.05.

PERLIS
Seramai 282 pelajar di Perlis yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 mencatat keputusan A dalam semua mata pelajaran berbanding 276 orang bagi tahun 2008.

Jumlah itu merupakan 6.10 peratus daripada keseluruhan 2,636 calon yang mengambil peperiksan tersebut di 34 pusat peperiksaan di negeri ini pada 7 hingga 13 oktober lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat berkata, daripada 282 pelajar itu pula, 49 calon mendapat 9A, 222 pelajar memperolehi 8A dan 11 lagi merekodkan 7A.

"Tiga sekolah pula mengekalkan pencapaian 100 peratus kelulusan dengan minimum gred D dalam semua mata pelajaran. Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Derma, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan SMK Dato' Sheikh Ahmad," katanya pada sidang akhbar di SMK Derma di sini hari ini.

Selain itu kata beliau, empat sekolah lagi pula berjaya merekodkan kecemerlangan melebihi pencapaian negeri iaitu 55.02 peratus.

Sekolah-sekolah terlibat ialah SMK Syed Hassan (90.21 peratus), SMK Agama (Perempuan) Kangar (88.40 peratus), SMK Agama Arau (77.62 peratus) dan Al Madrasiah Ad Diniah (63.30 peratus).



KEDAH
Seramai 1,736 pelajar daripada keseluruhan 35,155 calon sekolah Kementerian Pelajaran di negeri ini berjaya mendapat semua A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang keputusannya diumumkan hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abd. Rahman berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 198 calon mendapat 9A; 1,369 calon mendapat 8A dan 169 calon memperoleh 7A.

Katanya, pencapaian gred purata negeri bagi tahun ini pula menunjukkan peningkatan sebanyak 0.048 kepada 2.878 berbanding 2.926 pada tahun lalu.

''Peratus penguasaan tahap mimimum dalam semua mata pelajaran pada tahun turut meningkat sebanyak 0.37 peratus kepada 58.22 peratus berbanding 57.85 peratus pada 2008,'' katanya di sini hari ini.

Shahidan berkata, sebanyak 10 mata pelajaran daripada 15 yang ditawarkan menunjukkan peningkatkan peratusan pencapaian pada tahun ini.



SABAH
Bilangan pelajar yang memperolehi gred A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di negeri ini meningkat kepada 734 orang tahun ini berbanding 659 orang tahun lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Dr. Muhiddin Yusin berkata, bilangan itu berdasarkan calon yang mengambil lebih daripada tujuh mata pelajaran dalam peperiksaan berkenaan.

"Tahun ini seramai 44 pelajar mendapat sembilan A, berbanding 19 orang tahun lepas manakala terdapat pertambahan 46 calon yang memperolehi lapan A berbanding 340 tahun lepas. Mereka yang mendapat tujuh A pula seramai 304 orang berbanding 300 tahun lepas," katanya.

Muhiddin berkata, seramai 20,378 calon daripada 38,741 yang menduduki peperiksaan PMR tahun ini lulus semua mata pelajaran yang diambil berbanding 20,500 daripada 37,794 pelajar tahun lepas.

Sebanyak 12 buah sekolah di negeri ini mencapai kelulusan cemerlang ialah Sekolah Menengah Sains (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Sains (Lahad Datu), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu. Turut cemerlang ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Inanam (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Kebangsaan All Saints (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Kebangsaan St Francis Convent (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Yuk (Likas).


KUALA LUMPUR:
Seramai 1,939 pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 di Kuala Lumpur memperoleh gred A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil, meningkat 0.47 peratus berbanding tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak berkata, jumlah yang memperoleh semua A meningkat 150 orang dengan seramai 70 pelajar mendapat 9A, 1,215 (8A) dan 654 (7A).

"Tujuh mata pelajaran PMR iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup Bersepadu kekal cemerlang dengan peratusan lebih 90 peratus seperti tahun lalu.

“Kecuali mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (Pertanian) yang berlaku penurunan iaitu daripada 96.41 peratus kepada 89.80 peratus tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan PMR Tahun 2009 di Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan di sini hari ini. Katanya, sejumlah 15,533 calon mencapai keputusan lulus dalam semua mata pelajaran daripada 21,921 calon yang menduduki PMR di seluruh Kuala Lumpur tahun ini.

Sekolah yang memperoleh pencapaian terbaik PMR di Kuala Lumpur ialah Sekolah Menengah Sains Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lumpur untuk kategori Sekolah Berasrama Penuh (SBP); manakala SMK Aminuddin Baki bagi kategori Sekolah harian.


JOHOR:
Seramai 3,308 atau 6.12 peratus pelajar di negeri ini berjaya memperoleh keputusan semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 yang diumumkan hari ini. Jumlah tersebut meningkat sebanyak 0.47 peratus berbanding 5.56 peratus tahun lalu atau 3,031 calon yang mendapat keputusan cemerlang.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin berkata, pencapaian calon PMR tahun ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Ini berdasarkan kepada ukuran yang dibuat mengikut pencapaian keseluruhan berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 2.78 berbanding 2.84 tahun lalu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan PMR 2009 di Hotel Selesa, di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 16 buah sekolah mencapai 100 peratus calon lulus berbanding 15 buah sekolah pada tahun lalu.

Antara sekolah yang berjaya mencapai 100 peratus adalah Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru; Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor, Kluang; SMS Kota Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail dan Sekolah Seni di Johor Bahru.

MELAKA
Di Melaka, seramai 1,074 atau 1.39 peratus daripada 14,664 calon memperolehi A bagi semua mata pelajaran. Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu berkata, pencapaian tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding 879 daripada 14,692 calon yang lulus semua mata pelajaran.

Tiga buah sekolah mencapai 100% penguasaan minimum gred D iaitu Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, SMK Ghafar Baba dan SMK Iskandar Shah.

NEGERI SEMBILAN
Menurut Ketua Sektor Penilaian & Peperiksaan Pelajaran negeri, Mohd Razib Jamaluddin, seramai 1,418 daripada 19,697 pelajar semua jenis sekolah memperolehi semua A dalam semua mata pelajaran. Dari jumlah itu, seramai8 224 calon mendapat 9A; 974 mendapat 8A manakala selebihnya memperolehi 7A.

Peningkatan dicatatkan adalah sebanyak 8.1% iaitu sebanyak 101 pelajar berbanding 2008 iaitu seramai 1,317 pelajar.

SARAWAK
Sarawak mencatatkan peningkatan ketara dalam bilangan calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran dengan 1,860 atau 4.67% memperoleh kesemua A. Pengarah Pelajaran Sarawak, Julaihi Bujang berkata, jumlah itu melibatkan pertambahan 297 orang atau 19% berbanding tahun 2008.

Lima buah sekolah di Sarawak mencapai 100% penguasan minimum D bagi semua matapelajaran diambil. Sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Sains Kuching, Sekolah Menengah Sains Miri, Maktab Rendah Sains Mara Kuching dan dua buah sekolah swasta iaitu Sekolah Menengah Tunku Putra Kuching serta Sekolah Menengah Lodge Kuching.


PERAK

Seramai 2,746 pelajar yang menduduki peperiksaan PMR tahun ini di Perak memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Daripada jumlah tersebut, 246 pelajar mendapat 9A, 1,849 memperoleh 8A dan 651 pelajar mencatatkan 7A.

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Penilaian & Peperiksaan JPN Perak, Abdul Ghani Mohamad Nizar berkata, enam sekolah mencatatkan kelulusan 100% iaitu Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah Sains Tun Azlan Shah, SMK Tasik Taiping dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng.

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh muncul sebagai sekolah terbaik negeri dengan kelulusan 100% serta 85 daripada 107 (79.44%) calon peperiksaan mendapat 8A.

Seramai 26,177 calon atau 61.38 peratus daripada 42,644 orang calon yang menduduki peperiksaan PMR tahun ini memperoleh keputusan A,B,C dan D dalam semua mata pelajaran yang diambil. Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.77 peratus berbanding keputusan PMR tahun lepas.

TERENGGANU
Terengganu mencatatkan keputusan PMR tertinggi dengan pencapaian nilai gred purata negeri (GPN) 2.60 mengatasi gred purata nasional 2.78. Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong berkata, kesemua 22,954 calon PMR yang menduduki peperiksaan itu pada tahun ini berjaya melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat, tahun depan.

Pencapaian minimum D meningkat sebanyak 1% daripada 62.4% tahun 2008 kepada 63.4%. Pencapaian A dalam semua matapelajaran bagi tahun 2009 tidak berubah berbanding 2008 iaitu 7.1%.

Katanya, sebanyak 26 (20 peratus) daripada 129 buah sekolah menengah di negeri ini berjaya mencapai gred purata sekolah kurang daripada 1.80.

"Antara sekolah sekolah termasuklah Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut mencatat keputusan gred purata paling tinggi iaitu 1.07 diikuti Sekolah Berasrama Penuh Batu Rakit, Kuala Terengganu 1.09 manakala SM Imtiaz Kuala Berang, Hulu Terengganu pula mencapai gred purata 1.10," ujarnya.

Beliau menambah, sebanyak 12 buah sekolah menengah juga mencapai 100 peratus minimum D dalam semua mata pelajaran.

"Antaranya, SM Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu, SM Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan SMK Lembah Bidong, Setiu," katanya.


PULAU PINANG
Seramai 1,976 daripada 22,172 pelajar yang menduduki PMR lulus cemerlang dengan mendapat gred A dalam semua mata pelajaran di ambil.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad berkata, pencapaian pelajar dalam menguasai tahap minimum bagi semua mata pelajaran pula seramai 14,890 orang atau 66.40 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Bagi pencapaian kecemerlangan peringkat sekolah pula, lima buah sekolah mencatat kelulusan 100 peratus iaitu semua calonnya mencapai sekurang-kurangnya pangkat D dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Perempuan) St. George di Georgetown muncul pada tangga teratas dengan 154 orang pelajar mencatatkan semua A dalam mata pelajaran yang diambil diikuti Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam dengan 128 pelajar. Hanya Sekolah Menengah Agama Al-Irshad yang mempunyai pelajar skor 9A iaitu seramai 72 orang pelajar dan sekolah yang paling banyak pencapaian A bagi kesemua mata pelajaran pula ialah SMJK Jit Sin dengan 237 pelajar," katanya.

KELANTAN
Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 bagi Kelantan menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan mencatatkan pencapaian terbaik sejak empat tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri (JPN), Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, peningkatan dicapai daripada segi peratusan kelulusan, gred purata negeri, peratus kecemerlangan calon dan prestasi beberapa mata pelajaran.

Bilangan calon memperoleh kecemerlangan bertambah apabila seramai 1,510 orang atau 4.90 peratus daripada jumlah 37,151 calon mendapat semua A tahun ini dibandingkan dengan 1,517 calon atau 4.84 peratus daripada 37, 543 calon tahun lepas.

Ghazali menambah, gred purata juga mengalami peningkatan sebanyak 0.08 iaitu 2.71 tahun ini berbanding 2.79 tahun lalu malah gred purata negeri juga berjaya mengatasi gred purata nasional iaitu 2.78.

''Lebih membanggakan kedua-duanya iaitu peningkatan pencapaian calon dan gred purata negeri yang dicatatkan merupakan yang tertinggi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Misalnya daripada jumlah 85 buah sekolah menunjukkan peningkatan gred purata sekolah, 47 buah daripadanya menyamai atau melebihi gred purata negeri," katanya.

Sebanyak 10 buah sekolah mendapat peratus kelulusan 100 peratus antaranya Maktab Rendah Sains Mara Pasir Tumboh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, Kota Bharu, SMK Agama Naim Lilbanat, Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhamad Faris Petra dan SMS Machang.

''Sebanyak 62 buah sekolah turut mencatat peningkatan peratusan antaranya SMK Kubang Bemban dan SMK Tiang Chandi, Pasir Mas yang terletak di luar bandar," katanya.

Calon juga katanya, telah mencatat peningkatan peratus kelulusan mata pelajaran berbanding peringkat nasional.

''Bagi sekolah menengah kebangsaan, calon mengambil tujuh hingga sembilan daripada 14 mata pelajaran yang ditawarkan dan daripada jumlah tersebut, terdapat 10 daripadanya menunjukkan peningkatan dan mengatasi peratus di peringkat nasional.

''Antaranya Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Bahasa Arab Komunikasi, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup aliran Perdagangan dan Keusahawanan (PK), Ekonomi Rumah Tangga (ERT), Kemahiran Teknikal (KT) dan Sains Pertanian (PERT)," ujarnya.

Menurutnya lagi, sembilan mata pelajaran yang juga menunjukkan pencapaian dengan mengatasi peringkat nasional daripada segi peratus kecemerlangan mendapat gred A.

''Antara pencapaian yang dicatatkan dalam Bahasa Melayu iaitu 28.9 peratus berbanding 25.6 peratus di peringkat nasional, Geografi 26.7 peratus peringkat negeri dan 21.0 peratus di peringkat nasional dan Kemahiran Hidup-PK mencatat 40.8 peratus berbanding 27.9 peratus peringkat nasional.


(Utusan - 25/12/2009 - ms 14; Utusan Online - Berita Wilayah 25/12/2009)

Related Posts by Categories



1 comments

Blabbing Away said... @ 7:37 PM

~pmr 2009..untuk kelantan..skolah2 agama turut mendapat kelulusan 100% peratus..iaitu maahad tahfiz sains tanah merah..skolah di bawah yayasan islam kelantan..:)

Post a Comment