| 0 comments ]

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemenceh Negeri Sembilan akan menjadi MRSM kedua yang melaksanakan Program Ulul Albab selepas MRSM Putera Terengganu mulai tahun depan, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, permohonan masuk ke tingkatan satu kedua-dua MRSM itu sedang dibuka dan ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka boleh berbuat demikian.

Katanya, seramai 170 orang pelajar tingkatan satu akan berpeluang belajar di setiap MRSM itu yang menggunakan konsep pendidikan yang selaras dengan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).

''Sebelum program yang dilaksanakan di MRSM Kota Putera bermula tahun lalu telah memperlihatkan impak yang memberangsangkan apabila ramai pelajar yang mampu menghafaz sehingga 10 juzuk al-Quran," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong dekat Besut hari ini.

Idris berkata, program Ulul Albab yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik mampu melahirkan ilmuwan Islam yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk akademik.

Katanya, di samping mampu menguasai al-Quran, pelajar juga memilik ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang serta merupakan seorang yang berinovasi dan kreatif dalam kehidupan.

'' Setiap tahun pelajar disasarkan mampu menghafaz 10 juzuk al-Quran dan dalam tempoh tiga tahun mereka mampu menghafaz 30 juzuk al Quran yang merupakan satu kelebihan kepada pelajar berkenaan," katanya.

Beliau berkata, konsep pembelajaran yang lebih bersistematik dan bersepadu itu bukannya baru dilaksanakan sebaliknya telah pun berjaya dipraktikkan dengan jayanya di Sekolah Menengah Imtiaz Besut sebelum ini.

Tambahnya, menerusinya diharapkan nanti generasi pelajar yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi malah ilmu-ilmu agama sebagai tokoh peringkat dunia.

(Sumber: Utusan Malaysia - 12/12/2009 )

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment