| 0 comments ]

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta agar kerajaan memperbanyakkan peluang kenaikan pangkat kepada kira-kira 8,000 pembantu makmal sekolah di seluruh negara.

Presidennya, Omar Osman berkata pada masa ini kenaikan pangkat pembantu makmal sekolah gred C17 kepada gred C22 (kanan) dan gred C26 (tertinggi) adalah sangat terhad dan perlu memenuhi syarat-syarat yang agak ketat.

"Jadi, Cuepacs minta Kementerian Pelajaran menambah peluang kenaikan pangkat bagi pembantu makmal yang telah lama berkhidmat dan berpengalaman," katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Semenanjung Malaysia, di sini Jumaat.

Lebih 150 perwakilan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menghadiri persidangan berkenaan.

Beliau berkata, mereka perlu diberi pertimbangan sewajarnya selaras dengan tugas yang dipertanggungjawabkan, apatah lagi setelah mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs turut berharap agar Kementerian Pelajaran mengkaji semula pemberian insentif kepada pembantu makmal sebagai galakan kepada mereka.

"Mereka bukan sahaja bertugas untuk kerja-kerja rasmi, sebaliknya ada yang disuruh melaksanakan kerja-kerja lain," katanya.

Katanya, kementerian berkenaan mengadakan pelbagai anugerah seperti anugerah guru cemerlang, tapi pembantu makmal tidak diberi perhatian walaupun peranan mereka juga penting di sekolah-sekolah.

(Sumber: Bernama - 11/12/2009 - 20:30pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment