| 0 comments ]

Ibu bapa dibenarkan menjelaskan yuran sekolah dan bayaran tambahan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bermula sesi persekolahan depan sehingga akhir 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran secara ansuran itu diharap meringankan beban ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah serta mereka yang mempunyai ramai anak sedang bersekolah.

Tahun lalu jelasnya, ibu bapa serta penjaga diminta menjelaskan kesemua yuran persekolahan murid-murid pada bulan Jun.

''Dengan penambahan masa dan pembayaran secara berperingkat, Kementerian Pelajaran berharap ia dapat meringankan beban ibu bapa serta penjaga.

''Cuma saya harap, ibu bapa tidak terlalu berkira mengenai persekolahan anak-anak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Kementerian sebelum ini menetapkan yuran sekolah rendah pada kadar RM24.50 dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Ia merangkumi bayaran untuk kurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan, kegiatan Pendidikan Islam serta Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans Takaful.

Pada 2 Disember lalu pula, kementerian mengumumkan akan mengenakan bayaran tambahan kepada ibu bapa bermula sesi persekolahan depan bagi manfaat para pelajar.

Alimuddin menjelaskan, ibu bapa dibenar membuat pembayaran sehingga akhir tahun depan kerana tidak semua aktiviti pelajar berlangsung pada awal atau pertengahan tahun.

''Arahan ini telah disampaikan kepada semua Pengarah Pelajaran Negeri. Saya harap semua sekolah maklum dan tidak ada (sekolah) yang mengasak ibu bapa untuk menjelaskannya segera,'' tegasnya.

(Sumber: Utusan - 28/12/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment