| 1 comments ]

Kementerian Pelajaran memberi jaminan akan segera mengatasi semua kelemahan dalam sistem pengurusan di sekolah termasuk isu guru yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menguruskan program sekolah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementerian akan melihat semua kemungkinan untuk mengatasi masalah itu termasuk menambah jumlah wang panjar runcit (petty cash) di sekolah supaya guru tak perlu mendahulukan wang sendiri.

Beliau berkata, isu itu perlu diselesaikan dengan segera kerana adalah tidak wajar guru dibebankan dengan tugas berkenaan lantaran ia tidak termasuk sebagai antara kewajipan guru melaksanakan tugas.

“Meskipun guru biasanya bersedia menjalankan tugas dengan rela hati demi kepentingan pelajar, namun sebagai manusia biasa, mereka juga sering tertekan jika diminta melakukan sesuatu yang di luar kemampuan.

“Justeru, masalah itu perlu diatasi segera dengan kajian mendalam. Saya akan meninjau keadaan itu dengan melihat senario sebenar pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan pengurusan sekolah.

“Semua program yang dirancang perlu perancangan lebih teliti dan mengelak daripada membebankan guru. Kita mahu guru berkhidmat dengan selesa supaya dapat menumpukan kepada tugas utama mereka dalam mendidik pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan khas Berita Harian, Ahad lalu berkenaan rungutan kebanyakan guru lantaran terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk menjalankan pelbagai aktiviti sekolah.

Mengulas komen Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang bersetuju guru berhak menarik diri daripada melaksanakan program sekolah jika terpaksa mendahulukan wang sendiri, Muhyiddin berkata, ia adalah hak guru, namun mereka perlu mengutamakan tanggungjawab terhadap pelajar.

“Jika ia program tidak wajib, tak salah jika guru mahu menarik diri jika mereka tak mampu. Namun, kebiasaannya apabila ada program yang berserta pekeliling, suka atau tidak, guru perlu mengikuti program itu.

“Guru sering tersepit dalam hal ini. Nak hantar pelajar, tak ada duit dan tak mampu untuk keluarkan duit sendiri. Tak nak hantar, ia adalah arahan yang datang dengan pekeliling.

“Justeru, sewajarnya penganjur iaitu JPN atau PPD memastikan adanya peruntukan untuk program itu supaya guru dapat melaksanakan tugas mereka dengan selesa tanpa ada bebanan lain. Jika tak ada duit, tak payah buat dan guru pun tak payah menyertainya,” katanya.

Beliau berkata, antara misi utamanya sebagai Menteri Pelajaran adalah untuk meningkatkan profesion keguruan dengan melonjakkan imej mereka dalam menjalankan perkhidmatan serta tidak dibebani dengan pelbagai masalah sampingan yang boleh menjejaskan tumpuan mereka.

(Sumber: BHarian - 28/04/2009)

hehe. PakTeh suka kata-kata TPM yang ditulis bold di atas. isu sebenarnya, selalunya JPN dan PPD ada budget untuk sesuatu program peringkat daerah atau negeri, tetapi amat sedikit (kata mereka, hehe). mereka nak penyertaan tinggi di kalangan sekolah, tetapi duit kenalah cari sendiri. sekolah selalu jadi mangsa ialah sekolah yang jauh dari pusat aktiviti. kalau acara olahraga dan sukan, bas-bas bukan sikit kosnya. banyak acara yang bukan sehari, tetapi berhari-hari. belum kira guru-guru juga dikerah jadi hakim, urusetia dan guru pengiring. kesian murid yg datang sekolah nak belajar, rupa-rupanya cikgunya tiada berhari-hari. kalau ada guru yang jadi pengerusi teknik - berbulanlah tak ada di sekolah.

yang menarik, tiba-tiba geng PPD dan JPN pula melancung ke luar negara. sebenarnya inilah matematik tahun satu yang men'sedikit'kan budget di peringkat sekolah dan tuan rumah kejohanan/pertandingan.

tentang panjar wang runcit, ia bukan isu. sekolah yang kecil tentu duitnya sedikit. sekolah yang besar, tentulah duitnya lebih banyak. KPM cuma perlu tambah peruntukan untuk aktiviti ko-akademik dan kokurikulum di luar sekolah, bukan untuk kegiatan di dalam sekolah sahaja. itu sahaja.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Majlis Peperiksaan Malaysia akan melaksanakan sistem modular bagi menilai prestasi pelajar mengikut semester menggantikan kaedah terminal sedia ada untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ketua Eksekutifnya, Omar Abu Bakar, berkata pihaknya sedang menyiapkan sistem itu dan pelaksanaannya akan diumumkan Menteri Pelajaran tidak lama lagi.

Beliau berkata, sistem digunakan sedia ada dilaksanakan sejak 1982 menggantikan Higher School Certificate (HSC) itu perlu diubah bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa supaya terus berdaya saing.

Kajian semula sistem sedia ada itu juga katanya, dilaksanakan berikutan kemerosotan jumlah calon yang mengambil peperiksaan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Pencapaian pelajar Tingkatan Enam dikaji sepanjang tempoh pengajian

Kaedah taksiran modular yang akan dilaksanakan itu, kata Omar mengambil kira empat komponen iaitu:
  1. penilaian berasaskan kurikulum dengan amalan peperiksaan biasa,
  2. projek sekolah,
  3. kerja amali, dan
  4. ujian berasaskan sistem peperiksaan 'open book'.

"Berbanding sistem peperiksaan terminal ini, pelajar perlu mengikuti pengajian selama tiga semester sebelum melayakkan mereka menduduki peperiksaan STPM.

"Sistem baru ini akan menilai pencapaian pelajar berdasarkan prestasi mereka mengikut semester sepanjang tempoh pengajian Tingkatan Enam bawah dan atas.

"Pendekatan sedemikian lebih berdaya saing dalam usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah. Ia selaras hasrat kerajaan mewujudkan sistem pendidikan holistik," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Berikutan perubahan itu, Omar berkata, kos taksiran dijangka meningkat dan pihaknya akan mengemukakan peruntukan baru kepada kerajaan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

Beliau berkata, markah pelajar setiap semester dikumpul dan kecemerlangan mereka berdasarkan pencapaian tertinggi bagi ketiga-tiga penilaian.

(Sumber: Berita Harian - 27/04/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk tidak lagi membenarkan parti politik mendirikan pondok panas bagi merayu undi saat akhir pada hari pengundian.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata peraturan itu akan berkuat kuasa mulai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei ini.

Beliau mengumumkan demikian pada sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini, tengahari ini.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei (hari Sabtu) ini dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei (hari Ahad).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh keluar writ ditetapkan pada hari ini manakala tarikh notis dikeluarkan pada Khamis ini.

"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 17 April berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya N.12 Penanti berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan Mohammad Fairus Khairuddin melalui suratnya bertarikh 19 Mac 2009.

"Sehubungan ini, setelah meneliti pemakluman oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta salinan surat peletakan jawatan oleh ADUN berkenaan yang dilampirkan bersama pemakluman tersebut maka SPR dengan ini bersetuju bahawa kerusi bahagian pilihan raya DUN N.12 Penanti adalah disahkan kosong berkuat kuasa 17 April lalu," katanya pada persidangan akhbar di Putrajaya hari ini.

Mohammad Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Abdul Aziz berkata Daftar Pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemaskini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, katanya 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

Beliau berkata SPR mensasarkan kira-kira 80 peratus jumlah pengundi yang akan keluar mengundi pada hari tersebut memandangkan hari mengundi adalah hari Ahad, di mana sebanyak 82.1 peratus pengundi keluar mengundi untuk kawasan itu pada pilihan raya umum lalu.

Katanya SPR akan menggunakan Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi manakala bagi urusan pengundian pos, proses pengeluaran dan pengiraan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.

Sebanyak 9 buah pusat mengundi membabitkan 8 buah sekolah dan sebuah dewan dengan 32 tempat mengundi (saluran) serta 242 petugas akan terbabit dalam pengendalian pilihan raya ini.

(Sumber: Bernama, BHarian - 27/04/2009 - 11.49AM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan sememangnya mewajibkan perisytiharan harta dan tapisan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai antara syarat-syarat kenaikan pangkat bagi penjawat awam, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan syarat mengkehendaki pegawainya dikenakan tapisan SPRM sebelum dipertimbangkan kenaikan pangkat adalah menepati peraturan sedia ada dalam perkhidmatan awam.

Ketua Unit Komunikasi Korporat JPA Nik Noraini Nik Ya berkata calon-calon yang dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat juga perlu memenuhi syarat-syarat lain termasuk bebas daripada hukuman tatatertib selain penilaian prestasi.

"Amalan oleh JPJ itu merupakan pematuhan terhadap Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 bagi memastikan keutuhan seseorang penjawat awam, antaranya tidak terlibat dengan amalan rasuah.

"Perenggan 37 (2)(c) menetapkan antara asas kenaikan pangkat adalah sifat-sifat peribadi pegawai termasuk kesesuaiannya dengan jawatan kenaikan pangkat, keutuhan, potensi dan kepimpinan pegawai," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Isnin lepas, JPJ yang dikritik hebat kerana rasuah sejak akhir-akhir ini, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SPRM dalam usaha membendung gejala rasuah dan meningkatkan integriti serta profesionalisme di kalangan warga kerjanya.

Nik Noraini berkata Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, menetapkan semua penjawat awam (terpakai untuk semua gred jawatan) dikehendaki mengisytiharkan secara bertulis kepada Ketua Jabatan masing-masing segala harta yang dimiliki olehnya atau isteri, suami, anak, atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya, isteri atau suami atau anaknya.

"Peraturan ini juga menetapkan pengisytiharan harta diwajibkan apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam, dikehendaki oleh kerajaan, memperoleh harta tambahan dan atau melupuskan harta," katanya.

Beliau berkata penjelasan dan panduan lanjut mengenai pelaksanaan pengisytiharan harta dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Tiga Tahun 2002 di mana penjawat awam hendaklah membuat pengisytiharan harta setiap lima tahun sekali.

(Sumber: Bernama - 23/04/2009 - 21:01PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pelajar yang berjaya dalam permohonan memasuki Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi akademik 2009/2010 akan diberi pilihan untuk memilih satu daripada dua program yang akan ditawarkan kepada mereka.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam, calon yang berjaya akan diberi pilihan sama ada untuk mengikuti Program Matrikulasi di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau Program Pengajian Asasi/Diploma di IPTA.

Penawaran dua program itu adalah ekoran persetujuan antara KPT dengan KPM pada September tahun lepas untuk menggunapakai dasar tawaran terbuka bagi calon yang layak.

Keputusan permohonan kemasukan ke IPTA di bawah program itu akan diumumkan pada 1 Mei depan manakala keputusan Program Matrikulasi KPM diumumkan pada 17 April lepas dan tarikh pendaftaran ke kolej matrikulasi KPM ialah pada 11 Mei.

Sekiranya seseorang calon mendapat kedua-dua tawaran itu, calon boleh menolak satu daripada tawaran berkenaan dan jika calon telah mendaftar ke Program Matrikulasi, nama calon tidak akan diproses untuk pertimbangan kes rayuan kemasukan ke IPTA.

Calon yang tidak mendapat sebarang tawaran boleh mengemukakan rayuan melalui e-Rayuan mulai 1 Mei ini melalui laman web http://upu.mohe.gov.my.

(Sumber: Bernama - 22/04/2009 - 22:45 PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di Perak yang akan bermula Mei ini dijangka menghidupkan semula pekan kecil itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Blanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan, berkata MRSM bernilai RM80 juta tersebut akan dibina di tapak seluas 21.6 hektar dan dijangka siap April 2011.

"Pembinaan MRSM ini sekaligus dapat menghidupkan semula ekonomi pekan Parit yang kini malap sekaligus membuktikan kepada rakyat bahawa janji kerajaan untuk mereka dan bukan hanya sekadar janji pilihan raya," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tapak pembinaan oleh Pengarah Unit Binaan dan Senggaraan Mara, Mohammad Zain Saad, kepada pemaju projek, Nas Global Construction Sdn Bhd, di sini hari ini.

Menurut Zaim hasrat masyarakat di kawasan itu untuk mendapatkan sebuah MRSM sejak lebih sembilan tahun lepas akhirnya tercapai.

(Sumber: Bernama - 22/04/2009 - 16:57PM)

Nampaknya, MRSM Parit mungkin mula dibuka kemasukan ambilan barunya pada 2012.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 3 comments ]

KECEMERLANGAN Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM), Ayer Keruh, dalam bidang akademik sememangnya sudah terbukti, malah pencapaiannya pernah mengatasi sekolah cemerlang lain termasuk sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Buktinya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, kolej berkenaan berjaya mencatat pencapaian gred purata sekolah 1.33 dengan 79.2 peratus daripada 53 calon mendapat 9A ke atas, sekali gus muncul antara sekolah terbaik SPM peringkat kebangsaan.

Kedudukan sama dicapai pada 2000, 2002 dan 2003, menjadikan KYSM sekolah berprestij yang menjadi pilihan lulusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah meneruskan pengajian peringkat menengah.

Justeru tidak hairanlah, ribuan permohonan diterima daripada pelajar cemerlang setiap tahun berbanding hanya 60 tempat disediakan.

Pengetuanya, Noor Ainun Datuk Seri Yang Rashdi, berkata pencapaian peringkat Penilaian Menengah Rendah tidak kurang hebatnya apabila mencatat keputusan 100 peratus calon mendapat semua A dalam tempoh dua tahun berturut-turut sejak 2007.

Katanya, pencapaian itu selaras misi dan visi KYSM untuk muncul pusat kecemerlangan dalam pelbagai aspek merangkumi bidang akademik, sukan dan kegiatan kokurikulum.

“Kami berpegang teguh pada budaya menyemarakkan ilmu, justeru semangat setiap pelajar dibakar bagi memastikan keupayaan mereka untuk meraih kecemerlangan dalam segala bidang disertai.

“Setiap pelajar dibimbing serta dilatih personaliti dan keperibadiannya menerusi perancangan yang diatur dengan sempurna sebaik pelajar melangkahkan kaki ke kolej itu,” katanya.

Noor Ainun menjelaskan, pemupukan budaya kepimpinan turut menjadi fokus KYSM sebagai persediaan melahirkan generasi pemimpin masa depan dan kapten dalam industri.

Katanya, pelajar kolej itu bukan saja disasarkan mampu memperoleh keputusan terbaik dalam akademik tetapi juga meliputi pelbagai aspek seperti personaliti dan keperibadian.

“Justeru, segala yang ada di kolej ini sudah dilaksanakan mengikut keperluan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka. Ini selaras objektif KYSM yang sentiasa mementingkan penjanaan ilmu dan cintakan kejayaan,” katanya.

Terletak di Ayer Keroh, Melaka, KYSM yang ditubuhkan pada 25 Jun 1995 cetusan idea dan inisiatif bekas Pengerusi Renong Berhad, Tan Sri Halim Saad, dalam usaha memartabatkan ilmu khususnya untuk pelajar berbakat serta berpotensi cemerlang.

Noor Ainun berkata, walaupun berstatus sekolah swasta, fungsi KYSM sama seperti SBP lain di bawah Kementerian Pelajaran.

Katanya, KYSM tertakluk kepada modul dan peraturan Kementerian, tetapi menawarkan pelbagai subjek tambahan dalam modulnya.

Tambahan beberapa subjek seperti muzik, teknologi maklumat dan komunikasi sebagai persediaan mengharungi dunia globalisasi selepas menamatkan pembelajaran.

Dari segi prasarana, kolej itu menyediakan kemudahan bertaraf lima bintang kepada pelajarnya meliputi perpustakaan, kolam renang, gimnasium, bilik berhawa dingin, makmal komputer dan studio muzik lengkap dengan pelbagai peralatan muzik moden dan tradisional.

Penubuhan kumpulan orkestranya pada November 1996 membawa pelajar KYSM merentasi dunia seni muzik global dan menimba pengalaman dengan menyertai pelbagai persembahan di seluruh negara.

Selain pencapaian cemerlang dalam akademik, pelajar kolej itu turut mencatat pencapaian membanggakan dalam bidang sukan.

Malah, pasukan ragbi KYSM adalah antara pasukan digeruni dalam sukan itu dengan kejayaan menundukkan pasukan handal seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar dan King George V, Seremban.

(Sumber: Berita Harian - 22/04/2009)

Makluman lanjut: boleh rujuk di laman web rasmi Kolej Yayasan Saad.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran menetapkan 17 April ini sebagai tarikh semakan permohonan memasuki Program Matrikulasi oleh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, semakan boleh dibuat melalui laman web kementerian di http://www.moe.gov.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan beserta angka giliran SPM.

Pemohon juga boleh menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip MAT jarak nombor kad pengenalan pelajar ke talian 15888 atau menghubungi bantuan Bahagian Matrikulasi di 03-8884 4100 pada hari bekerja (8.30 pagi hingga 4 petang) bagi mengetahui status permohonan.

Menurut kenyataan itu, tarikh pendaftaran adalah pada 11 Mei ini dan surat tawaran dan maklumat lanjut berkaitan pendaftaran, yuran dan lain-lain akan dihantar oleh pihak kolej berkenaan.

Pemohon berkelayakan yang gagal dalam permohonan boleh membuat rayuan melalui internet atau secara bertulis dengan melampirkan satu salinan keputusan SPM beserta kad pengenalan yang disahkan kepada Bahagian Matrikulasi, Aras 6, Blok E15, Parcel E, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya, sebelum 30 April ini.

Keputusan rayuan akan diumumkan pada 22 Mei depan melalui laman web.

Pemohon juga boleh menyemaknya dengan menghantar SMS dengan menaip MAR jarak nombor kad pengenalan pelajar dan hantar ke 15888 ataupun menghubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan kemasukan ke Program Dua Tahun (PDT) akan diumumkan pada 3 Jun depan dan pelajar dikehendaki mendaftar di kolej 12 hari selepas itu.

Status permohonan boleh disemak melalui laman web dan semakan juga boleh dibuat dengan menghubungi talian bantuan seperti di atas ataupun dengan menghantar SMS dengan menaip MAT jarak nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888, katanya.

(Sumber: Bernama - 13/04/2009 - 5:21PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Amanah Raya Berhad (ARB) dengan kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menawarkan biasiswa kepada pelajar Islam yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir dalam bidang Pengajian Islam.

Menurut kenyataan ARB di sini hari ini, permohonan terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang beragama Islam yang memenuhi syarat-syarat kelayakan iaitu memperoleh keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Syariah, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan subjek berkaitan.

Latar belakang dan sosio ekonomi keluarga seperti anak yatim, ibu bapa berpendapatan rendah dan jumlah adik-beradik juga diambil kira dalam proses pemilihan ini.

Pelajar yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan melalui portal web www.amanahraya.com.my atau menghubungi talian 03-20557373/625 untuk maklumat lanjut.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 17 April ini

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Berikut ialah senarai penuh barisan Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.

PERDANA MENTERI : Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI: Tan Sri Muhyiddin Yassin

JABATAN PERDANA MENTERI:

Menteri:

1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)
2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)
3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)
4. Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)

Timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong
2. Datuk Dr. Mashitah Ibrahim
3. Datuk S.K. Devamany
4. Ahmad Maslan
5. T. Murugiah

KEMENTERIAN KEWANGAN:

Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak
Menteri II: Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Timbalan Menteri:
1. Datuk Chor Chee Heung
2. Datuk Dr. Awang Adek Hussin

KEMENTERIAN PELAJARAN:

Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Menteri:
1. Datuk Dr Wee Ka Siong
2. Dr. Mohd Puad Zarkashi

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN:

Menteri: Datuk Ong Tee Keat

Timbalan Menteri:
1. Datuk Abdul Rahim Bakri
2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

KEMENTERIAN PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:

Menteri: Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainudin

KEMENTERIAN DALAM NEGERI:

Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan Menteri:
1. Datuk Wira Abu Seman Yusop
2. Jelaing anak Mersat

KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:

Menteri: Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim

Timbalan Menteri:
1. Datuk Joseph Salang Gandum
2. Senator Heng Seai Kie

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:

Menteri: Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan Menteri: Noriah Kasnon

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:

Menteri: Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan Menteri:
1. Datuk Hassan Malek
2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI:

Menteri: Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan Menteri:
1. Datuk Dr. Hou Kok Chung
2. Datuk Saifuddin Abdullah

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:

Menteri: Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan Menteri:
1. Datuk Mukhriz Mahathir
2. Datuk Jacob Dungau Sagan

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:

Menteri: Datuk Dr. Maximus Ongkili

Timbalan Menteri: Fadillah Yusof

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:

Menteri: Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan Menteri: Tan Sri Joseph Kurup

KEMENTERIAN PELANCONGAN:

Menteri: Datuk Ng Yen Yen

Timbalan Menteri: Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:

Menteri: Datuk Noh Omar

Timbalan Menteri:
1. Datuk Johari Baharum
2. Datuk Rohani Abdul Karim

KEMENTERIAN PERTAHANAN:

Menteri: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Menteri: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

KEMENTERIAN KERJA RAYA:

Menteri: Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan Menteri: Datuk Yong Khoon Seng

KEMENTERIAN KESIHATAN:

Menteri: Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN:

Menteri: Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan Menteri:
1. Datuk Razali Ibrahim
2. Wee Jeck Seng

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA:

Menteri: Datuk Dr S.Subramaniam

Timbalan: Datuk Maznah Mazlan

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:

Menteri: Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan Menteri: Datuk Tan Lian Hoe

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:

Menteri: Datuk Kong Cho Ha

Timbalan Menteri: Datuk Lajim Ukin

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:

Menteri: Datuk Seri Sharizat Jalil

Timbalan Menteri: Datin Paduka Chew Mei Fun

KEMENTERIAN LUAR:

Menteri: Datuk Anifah Aman

Timbalan Menteri:
1. A. Kohilan Pillay
2. Datuk Lee Chee Leong

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN:

Menteri: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Timbalan Menteri: Datuk M. Saravanan

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Senarai menteri yang digugurkan daripada Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini:

1. Datuk Seri Syed Hamid Albar
2. Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed
3. Datuk Seri Zulhasnan Rafique
4. Datuk Seri Azalina Othman Said
5. Senator Tan Sri Muhammad Muhamad Taib
6. Senator Datuk Amirsham A Aziz
7. Datuk Shahrir Abdul Samad (meletak jawatan)
8. Datuk Seri Ong Ka Chuan

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Yang menarik..

  1. Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO) tidak dilantik dalam kabinet. Bagus.
  2. Mukhriz Mahathir (tewas Ketua Pemuda) pula jadi Timb. Menteri.
  3. Kementerian baru : Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
  4. Penggabungan Kementerian Penerangan dengan Kesenian.
  5. Kabinet lebih kecil dengan dianggotai 28 Menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian sebelumnya.
  6. Empat Menteri dari Sabah.
    • Tan Sri Bernad Dompok (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi,
    • Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah),
    • Datuk Dr. Maximus Ongkili (Menteri Sains, Teknologi & Inovasi),
    • Datuk Anifah Aman (Menteri Luar).
  7. Tiga negeri - Perlis, Melaka dan Kedah tiada wakil dilantik Menteri.
  8. Enam muka baru dilantik sebagai Menteri.
    • Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Menteri Wilayah Persekutuan),
    • Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (Menteri di Jabatan Perdana Menteri),
    • Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Menteri Kewangan Kedua),
    • Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan),
    • Datuk Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam);
    • Datuk Anifah Aman (Menteri Luar).
  9. Pelantikan empat menteri dan dua timbalan menteri bertaraf Senator.

    • Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Presiden Gerakan) - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjaga Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi;
    • Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Bekas Pengarah Agama di Angkatan Tentera Malaysia (ATM), memegang potfolio Hal Ehwal Agama Islam;
    • Datuk Seri Sharizat Jalil (Ketua Wanita Umno) - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;
    • Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Ahli perniagaan) sebagai Menteri Wilayah Persekutuan;
    • Datuk Dr Awang Adek Hussin - Timbalan Menteri Kewangan II; dan
    • Datuk Paduka Chew Mei Fun - sebagai timbalan Shahrizat.
  10. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mengukur prestasi menteri setiap 6 bulan.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran menetapkan hanya tiga kategori sekolah sahaja yang akan wujud pada tahun depan bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat mengenai status dan perjuangan sekolah-sekolah berkenaan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tiga kategori sekolah tersebut ialah :

  1. sekolah kerajaan,
  2. sekolah bantuan kerajaan, dan
  3. sekolah swasta.

"Menjelang tahun 2010 saya nak tengok tiga kategori sekolah saja yang ada sebab saya tak nak orang ramai keliru kerana saya bimbang ada pihak tertentu yang akan mengelirukan dan mengeksplotasi keadaan mengikut kaum dan agama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pakej rangsangan ekonomi peruntukan fizikal berjumlah RM210,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Sungai Getah di Sungai Petani, Selasa.

Beliau berkata sekolah kerajaan merupakan sekolah aliran perdana yang juga sekolah majoriti di negara ini di mana usaha memartabatkan sekolah ini adalah berterusan.

"Sekolah bantuan kerajaan pula sebelum ini kita lihat dalam konteks SJK Tamil dan Cina, sekolah mubaligh dan sekolah agama yang hanya berjuang dalam konteks pemikiran dan perjuangan mereka secara persendirian," katanya.

Hishammuddin berkata sekolah-sekolah bantuan kerajaan akan terus diberi perhatian dan sokongan penuh oleh kerajaan di mana sekolah-sekolah yang daif dan kurang selamat diduduki akan diberi keutamaan.

Sekolah swasta pula, kata beliau dilihat sebagai penjana ekonomi negara pada masa sekarang di mana kecenderungan masyarakat luar untuk memilih sekolah swasta di negara ini berbanding negara lain.

"Sekarang ni orang tak faham dan campur-adukkan. Bila cakap fasal SJK di mana orang samakan dengan sekolah kebangsaan (SK) walhal di sekolah agama bantuan kerajaan yang sama status dengan SJK, tanahnya hak milik sekolah dan lembaga sekolah.

"Ahli lembaga masih ada, di SK tidak ada (ahli lembaga) jadi status dan sejarah berbeza...nak samakan susah tapi kalau tak samakan nanti dieksploitasi oleh kumpulan tertentu yang kata kita menganiayai sekolah yang beraliran lain padahal guru dibekal oleh kita, lembaga kita tak ganggu serta tanah hak milik tetap sekolah dan lembaga," katanya.

Beliau mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengeksploitasikan dan mensensasikan isu-isu pendidikan yang melibatkan kaum dan agama kerana ia boleh memecah-belahkan masyarakat

"Ia menimbulkan emosi, polemik, memecah-belah masyarakat dan bila berlaku, negara tidak stabil dan bila negara tak stabil bagaimana kita mahu pertahankan ekonomi," katanya.

Katanya sekiranya semua pihak tidak bersungguh-sungguh dan mempunyai satu kemahuan politik untuk menangani perkara itu dengan berani, masa depan generasi akan datang akan gelap.

(Sumber: Bernama - 31/03/2009 - 18:16PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...