| 0 comments ]

Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Serentak dengan itu, beliau berkata beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek hari ini.

Muhyidin, yang juga Menteri Pelajaran, diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Muhyiddin berkata daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek.

Ini juga akan mengatasi masalah pada sesetengah subjek yang kekurangan guru malahan ibu bapa dapat menjimatkan wang daripada terpaksa membayar lebihan subjek perlu diambil apabila menghantar anak mereka ke kelas tuisyen, katanya.

Muhyiddin berkata kementerian amat serius untuk merapatkan jurang di antara pelajar bandar dan luar bandar walapun perbezaan jurang ini tidak sejauh mana.

"Sebenarnya jurang ini tidak terlalu jauh tetapi masih ada perbezaan yang agak ketara daripada sudut lain dan ini dilihat daripada segi keputusan peperiksaan," katanya.

Pembaharuan yang dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-10 membabitkan pembangunan prasarana, tenaga guru dan cara pembelajaran murid, katanya.

"Lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar ini terdapat ramai orang bumiputera Melayu, bumiputera yang agak miskin, kurang berkemampuan. Kita mahu pembangunan sekolah-sekolah di luar bandar sama tahapnya baik daripada segi infrastruktur, cara pembelajaran sebagaimana yang terdapat di kawasan-kawasan yang sudah maju," kata Muhyiddin.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan guru-guru yang berkelayakan untuk mengajar bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di pedalaman merupakan cabaran utama bagi kementeriannya melaksanakan pembaharuan itu.

Walaupun kementerian ada menawarkan elaun sebanyak RM1,500 sebagai insentif sejak dari tahun lepas untuk mereka datang ke kawasan pedalaman misalnya di Sabah dan Sarawak, masih banyak cabaran lain perlu ditangani.

Beliau sedang memikirkan cara untuk menyenangkan kehidupan guru-guru yang dihantar ke kawasan pedalaman ini kerana walaupun mendapat elaun, kementerian sedar masalah lain seperti perumahan menjadi asas utama perlu diatasi.

Kompleks Pendidikan yang dilawati Muhyiddin hari ini terletak di kawasan seluas 400 hektar dan menempatkan kompleks Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Kos keseluruhan projek ialah RM1.3 bilion dan sebahagiannya dijadual siap pada penghujung 2010.

(Sumber: Bernama - 28/5/2009 - 13:59PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Semua bungkusan rokok untuk jualan di pasaran tempatan wajib memaparkan Amaran Kesihatan Bergambar mulai 1 Jun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata perkara itu seiring dengan penguatkuasaan sepenuhnya terhadap cetakan Amaran Kesihatan Bergambar pada bungkusan rokok mengikut keperluan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008.

"Penjual yang didapati menjual bungkusan rokok yang tidak memaparkan Amaran Kesihatan Bergambar selepas 1 Jun ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata Amaran Kesihatan Bergambar itu juga tidak boleh dihalang daripada penglihatan oleh apa-apa benda, alat atau cara.

"Penjual yang melakukan kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Penguatkuasaan Amaran Kesihatan Bergambar pada kotak rokok dikuatkuasakan secara berperingkat bermula Januari lepas, iaitu sesebuah syarikat perlu mencetak amaran itu pada sekurang-kurangnya dua jenama rokok keluaran mereka, dan pada Mac lepas mereka dikehendaki mencetak amaran itu pada semua jenama rokok keluaran mereka.

(Sumber: Bernama - 27/5/2009 - 14:44pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan telah meluluskan pertambahan kuota Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) sebagai Guru Cemerlang bagi Gred DGA32 dan DGA34 selain mewujudkan gred baru DGA 38.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata ianya berkuat kuasa serta-merta.

"Ini berita baik bagi guru-guru yang terlibat, jadi saya harap mereka semua berpuas hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Khamis.

Menurut Muhyiddin, sebanyak 600 kuota jawatan Guru Cemerlang ditambah untuk Gred DGA32 menjadikan 3,800 manakala bagi Gred DGA34, sebanyak 150 kuota ditambah menjadikan jumlahnya 950.

Gred DGA38 pula melibatkan pengwujudan 237 kuota jawatan Guru Cemerlang, katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan memperuntukkan 10 peratus daripada kuota setiap gred kepada PPLD yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran,
Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Pendidikan Daerah.

"PPLD Gred DGA32 diperuntukkan sebanyak 380 jawatan, PPLD Gred DGA34 sebanyak 95 jawatan manakala PPLD Gred DGA38 pula sebanyak 24 jawatan," katanya.

Mengenai keputusan berhubung pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, Muhyiddin berkata beliau akan mengumumkannya "dalam tempoh yang tidak terlalu lama".

"Saya pun, kalau boleh nak cepat, tapi saya baru masuk (kementerian). Bagi saya peluang sedikit," katanya.

(Sumber: Bernama - 21/05/2009 - 22:26PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran mungkin akan mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis.

Ini bagi memastikan keadilan dalam pemberian biasiswa kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, katanya.

"Patut diselaraskan jumlah mata pelajaran yang setiap pelajar boleh ambil...kenapa mereka perlu ambil 20 mata pelajaran sedangkan ada yang tidak diajar di sekolah dan hanya belajar di kelas tuisyen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Puteri Umno di pejabatnya di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sistem sedia ada dalam pemberian biasiswa berdasarkan jumlah A yang diperoleh pelajar patut diubah.

Sebagai contoh, katanya pelajar yang mendapat 14A akan mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapat biasiswa tetapi ini adalah tidak adil kepada mereka yang hanya dibenarkan mengambil sembilan mata pelajaran walaupun mereka mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.

"Pastinya, pelajar di sekolah berasrama penuh yang hanya dibenarkan mengambil sembilan atau 10 mata pelajaran tidak dapat bersaing dengan mereka yang memperoleh lebih banyak keputusan A," katanya.

Muhyiddin berkata beliau tidak mempertikaikan mereka yang memperoleh banyak A tetapi keadaan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar yang hanya dibenarkan mengambil jumlah mata pelajaran tertentu.

Katanya perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak paad 25 Mei.

(Sumber: Bernama - 21/05/2009 - 20:57 PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti akan menjadi perintis kepada pelaksanaan sepenuhnya undang-undang dan peraturan berkaitan larangan berkempen pada hari mengundi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Ngah Senik berkata individu yang melanggar larangan berkempen menurut Sub Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 boleh ditahan polis dan dikenakan tindakan penjara tidak lebih setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata selama ini larangan itu tidak dipatuhi sepenuhnya oleh parti yang bertanding kerana mereka masih melobi undi di kawasan pondok panas melalui pemakaian lambang, logo, bendera parti atau pemujukan.

"Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil Penanti ini, pondok panas tidak lagi dibenar kerana kita tidak mahu aktiviti meraih atau merayu undi berlaku pada saat akhir sebelum pengundi masuk ke pusat pengundian," katanya pada taklimat media di sini, Khamis.

Beliau berkata pemakaian lencana, topi atau apa sahaja yang mempunyai lambang parti terutama di kawasan 100 meter daripada pusat pengundian juga tidak dibenarkan.

Ngah berkata semua pihak yang bertanding diberi masa yang mencukupi untuk berkempen iaitu bermula daripada selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) membuat pengumuman mengenai calon yang akan bertanding pada hari penamaan calon pada 23 Mei sehingga pukul 12 tengah malam 30 Mei ini.

"Saya benar-benar berharap semua pihak sama ada parti politik atau calon bebas yang bertanding mematuhi larangan ini dan tidak menggunakan meja semakan yang dibenarkan di kawasan 100 meter dari pusat pengundian untuk merayu undi lagi.

"Biarlah Penanti menjadi permulaan kepada pilihan raya yang aman, tenang dan pengundi tidak menghadapi tekanan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Ngah berkata SPR melantik 450 petugas dan memperuntukkan RM500,000 untuk mengendalikan pilihan raya kecil Penanti itu.

Beberapa pembaharuan dibuat untuk pilihan raya kecil kali ini, antaranya mewujudkan barung SPR di kawasan 50 meter dari pusat pengundian dan menambah bilangan pemandu arah untuk membantu pengundi menuju ke saluran masing-masing, katanya.

(Sumber: Bernama - 21/05/2009 - 19:19PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pelajar-pelajar Malaysia terutama di Amerika Syarikat yang mahu pulang bercuti musim panas tidak lama lagi dinasihatkan agar menangguhkannya dahulu sekiranya mereka mempunyai simptom Influenza A (H1N1) seperti demam dan selesema.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata nasihat itu juga terpakai kepada mana-mana individu yang ingin kembali ke tanah air mahupun melancong ke negara ini jika mereka juga mempunyai simptom serupa.

"Jika mereka mengalami simptom-simptom tersebut setelah masuk ke negara ini pula, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun, kepulangan atau kedatangan mereka ini dialu-alukan, dan ia bukanlah satu masalah kerana kementerian mempunyai persediaan yang cukup bagi mengawal penularan wabak itu, sekiranya ada, kata Liow yang baru pulang daripada menghadiri persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva.

Katanya mesyuarat itu diberitahu mengenai kebimbangan bahawa virus penyakit itu boleh merebak dengan lebih cepat pada musim sejuk di negara-negara hemisfera selatan.

Mengenai status dalam negara, Liow berkata sehingga pagi ini, tiada kes baru yang disahkan positif virus Influenza A (H1N1) dicatatkan walaupun terdapat 16 kes yang dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemeriksaan semalam.

Daripada jumlah itu, empat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, empat ke Hospital Kuala Lumpur, dua ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, dua di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, dua di Hospital Queen ELizabeth, Sabah, dan masing-masing satu di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dan satu di Hospital Pulau Pinang.

Kecuali dua kes di Sabah yang masih menunggu keputusan, yang lain disahkan negatif, kata Liow.

Beliau berkata, dua warga negara Amerika Syarikat yang dikuarantin di Sabah kerana menaiki pesawat yang sama dengan warga Hong Kong yang disahkan dijangkiti wabak itu, masih berada dalam keadaan stabil dan sihat dan akan dibebaskan Sabtu ini jika tidak menunjukkan sebarang simptom.

(Sumber: Bernama - 21/05/2009 - 19:06PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

Kementerian Pengajian Tinggi akan menganjurkan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 selama tiga hari mulai 15 Mei ini yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata karnival itu akan disertai 600 pempamer daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

"Dijangkakan karnival akan menyediakan 10,000 peluang pekerjaan kepada graduan," katanya kepada pemberita semasa melancarkan Portal Pra Pendaftaran K3G, di sini hari ini.

Melalui portal tersebut yang boleh dilayari di www.mohe.gov.my, graduan boleh memohon pekerjaan secara online mulai hari ini.

Dengan mendaftar diri terlebih dahulu, graduan tidak perlu lagi membawa dokumen semasa hadir ke karnival untuk mendaftar, kata Mohamed Khaled.

(Sumber: Kenyataan Akhbar, 05/05/2009 )

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Alamat laman web bagi Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri yang sebelum ini http://www.bpa.jpm.my telah ditukar kepada http://www.pcb.gov.my bermula semalam.

Menurut kenyataan BPA hari ini nama domain bagi jabatan itu juga telah ditukar kepada @pcb.gov.my.

Perubahan itu adalah selaras dengan arahan yang dikeluarkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan (MAMPU) mengenai pengurusan laman web/portal sektor awam, kata kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai laman web baru itu boleh menghubungi talian 03-88884356/4745/7236. - (Bernama)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau masih belum berpuas hati dengan hasil kajian yang dilakukan termasuk sesi perbincangan meja bulat mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersedia untuk memberi masa lebih panjang kerana apa jua keputusan kerajaan terhadap isu berkenaan adalah kritikal.

"Kami tidak mahu dilihat sebagai tidak konsisten (flip-flop) dalam perkara ini. Kami perlu melihat lebih banyak maklum balas. Tetapi melihat kepada kajian-kajian yang dilakukan oleh beberapa badan bebas, hasilnya tidak sama dengan perbincangan meja bulat yang diadakan.

"Kadang kala semasa perbincangan meja bulat, orang ramai tidak mempunyai fakta dan bukti. Mereka bercakap berasaskan kepada apa yang mereka rasa. Mereka mestilah menyokong pendapat dengan banyak fakta dan bukti sama ada perlu dilakukan perubahan ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas melawat Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian pada akhirnya akan mengemukakan hasil kajian kepada Kabinet sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.

Muhyiddin berkata beliau sedia menerima sesiapa juga yang berhasrat memberi pandangan atau memorandum dalam hal itu, dan sekiranya ia baik pandangan itu boleh diterima pakai.

"Sekarang ini banyak pihak beri pandangan masing-masing. Ada yang setuju dan tidak setuju. Yang penting ialah soal masa depan bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris, yang tidak kurang penting ialah soal masa depan anak kita yang belajar di sekolah.

Katanya keputusan yang bakal diumumkan adalah berdasarkan kajian mendalam pastinya akan memberi kesan terhadap dasar sedia ada, atau penambahbaikan perubahan dasar.

Mengenai cadangan bagi menyemak semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Muhyiddin berkata ia akan dilakukan sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan sulungnya kepada rakyat.

Muhyiddin berkata perkara itu memerlukan masa bagi membolehkan perundingan diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan, masyarakat dan parti-parti politik.

"Ini bukan hanya suatu keprihatinan kerajaan tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat hasilnya," kata beliau.

Muhyiddin, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut kerana masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa mengenainya.

(Sumber: Bernama - 04/05/2009 - 20:56PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 1 comments ]

Semakan Tawaran Kemasukan Ke Tingkatan Enam Bawah Bagi Tahun 2009 boleh dibuat mulai 6hb Mei 2009. Semakan ini boleh dibuat melalui :

1. Semakan di Laman Web Kementerian Pelajaran Malaysia (http://www.moe.gov.my)
2. Semakan SMS : Taipkan

  • Taipkan MOE<jarak>T6<jarak>KP<jarak>[No KP] -atau- MOE<jarak>T6<jarak>AG<jarak>[No Giliran] -->hantar ke 15888

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Semakan status permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya boleh dibuat mulai 12 tengah hari Jumaat (01/05/2009).

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata status boleh disemak melalui:
  1. talian Helpline: 03-88835848, Hotline: 03-88835858,
  2. laman web: http://upu.mohe.gov.my; www.ipt.utm.my dan http://ipt.uum.edu.my
  3. SMS - taip: UPU RESULT (nombor kad pengenalan) dan hantar ke 15888.

"Calon boleh mencetak surat tawaran melalui laman web IPTA mulai 4 Mei ini dan pihak IPTA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon yang berjaya pada tarikh yang sama," kata kenyataan itu.

Mulai sesi akademik 2009/2010, semua calon yang berjaya wajib membuat pengesahan setuju untuk menerima tawaran dari IPTA dalam tempoh tujuh hari pada atau sebelum 10 Mei dan pengesahan penerimaan tawaran boleh dibuat melalui laman web IPTA.

Tarikh pendaftaran baru ke IPTA adalah 28 Jun ini, bagaimanapun pendaftaran pelajar ke Program Asasi akan dimaklumkan oleh IPTA berkenaan melalui surat tawaran.

Kementerian juga bersetuju melaksanakan dasar tawaran terbuka dengan pelbagai institusi dan agensi penaja yang menawarkan program pengajian tersebut, justeru ramai calon cemerlang SPM 2008 akan menerima lebih daripada satu tawaran.

"Pemohon yang berjaya perlu membuat keputusan yang bijak dan tepat serta mendaftar ke program yang dipilih mengikut jadual yang ditetapkan. Bagi pemohon yang tidak berjaya ke IPTA tetapi menerima tawaran ke institusi lain dinasihatkan mendaftar ke program berkaitan kerana tawaran tempat ke IPTA adalah terhad," kata kenyataan itu.

Hanya calon gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA dibenarkan mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan melalui http://upu.mohe.gov.my.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan adalah pada 15 Mei dan keputusan rayuan akan dimaklumkan pada minggu ketiga Julai.

Jika tiada sebarang tawaran diterima dari IPTA sehingga 31 Julai maka rayuan mereka dianggap gagal.

Semoga Berjaya

Baca Selengkapnya (Read More)...