| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran akan menggunakan senarai e-Kasih bagi mengenal pasti pelajar miskin untuk diberi pelbagai bantuan yang disediakan kementerian itu.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penggunaan senarai e-Kasih akan memastikan hanya mereka yang layak dan berdaftar menerima bantuan kerajaan.

Berikutan itu jelasnya, pelaksanaan Skim Baucer Tuisyen dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan disemak semula bagi memastikan hanya yang layak menerima bantuan tersebut.

''Kemungkinan berlaku sedikit kelewatan dalam pemberian bantuan kerajaan seperti pembayaran Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan bantuan-bantuan lain berikutan penggunaan e-Kasih," katanya di Kota Samarahan hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lapan buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Batang Sadong di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Julaihi Bujang dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

Puad memberitahu, kerajaan membelanjakan sejumlah RM3.8 bilion setahun bagi menyediakan bantuan kewangan untuk program-program kementerian seperti Skim Baucer Tuisyen, KWAPM, makanan asrama, Biasiswa Kecil Persekutuan dan buku teks.

Oleh itu katanya, peranan ketua kampung adalah penting kerana mereka yang dapat menentukan bantuan kerajaan itu sampai kepada sasarannya.

''Kita tidak mahu berlaku pembaziran kerana pernah berlaku bantuan kerajaan diberikan kepada mereka yang tidak layak," jelas beliau.

Sementara itu, Puad meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya bersikap adil terhadap masyarakat Penan demi masa depan anak-anak masyarakat itu.

Katanya, tanggapan negatif NGO terhadap masyarakat itu menyebabkan syarikat pembalakan di Long Bedian kini enggan menumpangkan pelajar Penan ke sekolah.

''Ia menimbulkan masalah besar dan boleh mengakibatkan berlaku masalah keciciran membabitkan anak-anak masyarakat itu," katanya.

(Sumber: Utusan - 6/1/2009)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment