| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran mensasarkan untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 5% kepada 72% tahun ini dengan membabitkan kanak-kanak seawal umur empat tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu merupakan tumpuan Kementerian Pelajaran kepada usaha untuk mencapai sasaran awal bagi satu daripada empat sub-Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan, tahun ini.

"Penyertaan kanak-kanak seawal umur empat tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi.

"Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid," katanya pada majlis Perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tiga sub-NKRA pendidikan yang lain ialah penguasaan 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS); melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi; dan merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah. - Bernama

(Sumber: BHarian Online - 7/1/2010)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment