| 0 comments ]

Kementerian Pelajaran mengarahkan pihak sekolah supaya meningkat aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti kokurikulum terutama di luar kawasan sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata langkah itu bagi memastikan setiap aktiviti yang dilakukan tidak membahayakan pelajar.

Beliau mengulas mengenai insiden perahu naga yang karam di pantai Lebuh Macallum di Pulau Pinang, Ahad pagi.

"Kita menggalakkan aktiviti kokurikulum, tetapi aspek keselamatan pelajar terutamanya aktiviti sukan air perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Setakat ini seorang pelajar Jason Ch'ng, 17, dan seorang guru Chin Ai Fang, 28, telah ditemui mati lemas dalam kejadian itu.

Empat lagi pelajar iaitu Brandon Yeoh, 17, Yong Xiang, 16, Koh Yiz Hiang, 17, dan Cheah Zi Jun, 17, belum ditemui.

Mereka adalah antara 18 anggota pasukan pendayung perahu naga Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Ling, Air Itam di sini yang sedang menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.

Beliau menyampaikan ucapan takziah daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada keluarga mangsa.

(Sumber: Bernama - 17/1/2010 - 21:21pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment