| 0 comments ]

Mesyuarat Kabinet Rabu bersetuju untuk meluluskan peruntukan tambahan yang diperlukan bagi membolehkan Kementerian Pelajaran meneruskan Program Bantuan Persekolahan (PBS), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran peruntukan itu adalah untuk bantuan makanan asrama, skim bantuan tuisyen pelajar miskin, bantuan pakaian seragam pasukan beruniform, Rancangan Makanan Tambahan, elaun murid berkeperluan khas serta sukan dan ko-kurikulum.

Beliau berkata kementerian itu menganggarkan sebanyak RM700 juta akan ditambah dalam peruntukan Bajet 2010 bagi kementerian itu.

"Jumlah itu berdasarkan kiraan yang dibuat secara kasar. Perinciannya akan dirunding dengan Menteri Kewangan supaya mana-mana yang kita terpaksa potong dan kesannya mula terasa, kita sediakan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang pleno Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seameo) ke-45 di Cebu, Filipina.

Muhyiddin berkata akibat kekangan kewangan yang dihadapi, kementerian itu tidak dapat meneruskan bantuan yang selama ini disediakan sehingga menimbulkan masalah terhadap ibu bapa dan pelajar.

Bagaimanapun, beliau berkata di atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merasa bimbang terhadap situasi ini dan tidak mahu ibu bapa terus rasa terbeban dengan kekurangan peruntukan, PBS akan dapat diteruskan.

"Ini menunjukkan betapa prihatinnya Perdana Menteri dan saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan yang mengambil kira tentang tanggungan yang harus dibuat oleh ibu bapa, beban yang ditanggung oleh pelajar," katanya.

Untuk Bajet tahun ini, kerajaan hanya memperuntukkan RM25.52 bilion untuk Kementerian Pelajaran berbanding RM31 bilion dalam Bajet 2009.

(Sumber: Bernama - 27/1/2010 - 21:01pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment