| 0 comments ]

Program imunisasi Human Papillomavirus (HPV) secara percuma yang dipercayai dapat mengurangkan 75 peratus kes barah pangkal rahim dilaksanakan Mac ini dengan sasaran remaja perempuan berusia 13 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pihaknya melaksanakan program itu berdasarkan kemudahan infrastruktur sedia ada khususnya menerusi Program Kesihatan Sekolah.

Katanya, menerusi program itu, pelalian untuk pencegahan enam penyakit berjangkit dilaksanakan untuk pelajar Tahun Satu membabitkan pelalian mencegah demam campak, bengok, rubella, polio, diptheria dan tetanus.

“Pengalaman serta kerjasama yang sangat baik daripada sekolah serta ibu bapa selama ini memudahkan pelaksanaan pelalian HPV untuk pelajar perempuan berusia 13 tahun.

“Seperti pelalian penyakit lain, suntikan hanya diberi kepada pelajar yang mendapat persetujuan bertulis daripada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Ditanya hasil kajian kementerian bagi menentu keberkesanan HPV bagi mengelak risiko dan kesan sampingan seperti didakwa pelbagai pihak, Rosnah berkata, pihaknya memilih vaksin HPV 16 dan 18 untuk kegunaan program itu kerana ia paling sesuai dan memberi kesan optimum.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati keberkesanan vaksin ini terhadap jangkitan HPV jenis 16 dan 18 ialah 98 peratus iaitu apabila 100 wanita diberi vaksin ini, 98 daripadanya tidak mendapat jangkitan HPV dan seterusnya barah serviks.

(Sumber: BHarian - Nasional)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment