| 0 comments ]

Kira-kira 92.55 peratus daripada 48,446 pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) pada 2009 lulus penuh berbanding 92.24 peratus daripada 46,306 pelajar pada 2008.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata daripada jumlah itu, sebanyak 4,316 calon atau 8.24 peratus telah lulus penuh dalam lima mata pelajaran manakala calon yang lulus dalam empat mata pelajaran berjumlah 20,670 calon (39.49 peratus).

"Selain itu sebanyak 9,797 calon (18.72 peratus) lulus penuh dalam tiga mata pelajaran, 7,412 calon (14.16 peratus) lulus penuh dalam dua mata pelajaran manakala 6,251 calon (11.94 peratus) lulus penuh dalam satu mata pelajaran," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2009 di sini Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia Omar Abu Bakar.

Jumlah keseluruhan peratusan calon sekolah kerajaan, sekolah swasta dan calon persendirian individu yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran pada STPM 2009 telah meningkat kepada 47.73 peratus berbanding 44.09 peratus pada tahun 2008, katanya.

Sebanyak 23 mata pelajaran yang terdiri daripada 56 kertas soalan ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2009, calon dibenarkan mengambil lima mata pelajaran termasuk Pengajian Am, katanya.

Bagaimanapun, kebanyakan calon mengambil empat mata pelajaran kerana Kementerian Pengajian Tinggi telah menetapkan hanya empat mata pelajaran yang diambil kira, iaitu Pengajian Am dan tiga mata pelajaran yang lain, bagi tujuan pemilihan ke Institusi Pengajian Tingga Awam (IPTA), katanya.

Menurutnya, hanya 13,205 calon (25.23 peratus) mengambil lima mata pelajaran untuk STPM 2009.

Mengenai prestasi pelajar, sebanyak 15 calon telah mencapai Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding dengan 13 calon STPM pada tahun 2008 dan daripada jumlah itu, enam calon adalah pelajar aliran sains dan sembilan adalah pelajar aliran sastera, katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian Dzulkifli berkata Majlis Peperiksaan Malaysia akan terus membenarkan calon mengguna Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris dalam peperiksaan STPM.

Selain itu, katanya jurang prestasi antara pelajar bandar dan luar bandar masih ketara di mana 12.14 peratus calon bandar mendapat 5A, 4A dan 3A berbanding 7.06 peratus pelajar luar bandar, katanya.

(Sumber: Bernama - 25/2/2010 - 17:56pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment