| 0 comments ]

Penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja, Dewan Rakyat diberitahu Isnin - 5/4/2010.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan hanya akan membenarkan penjualan rokok 20 batang yang lebih mahal harganya selain memperluaskan kawasan larangan merokok di seluruh negara.

"Kita baru perkenalkan harga minimum pada Januari. Kita akan lihat kesan terlebih dahulu dan kaji langkah-langkah lain termasuk untuk adakan lebih banyak kawasan larangan merokok," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) di persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Dr Mohd Hatta ingin tahu adakah kerajaan bersedia menaikkan harga lantai rokok untuk menghalang golongan muda daripada memulakan tabiat merokok.

Liow berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain terutamanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membanteras penyeludupan rokok yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berhubung cadangan menetapkan harga siling bagi rokok, Liow berkata tiada keperluan bagi cadangan itu dilaksanakan kerana harga rokok pada masa ini cukup tinggi.

Dalam soalan berbeza, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menafikan wujudnya ketidakseragaman pengagihan jawatan kepada pekerja berketurunan India di jabatan-jabatan kerajaan.

Katanya bagi perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 3,591 atau 3.5 peratus daripada 103,051 pegawai adalah daripada kaum India, dan 37 daripada jumlah itu merupakan pegawai kanan.

"Di Jabatan Perpaduan, terdapat 35 pegawai kaum India daripada 868 pegawai (enam daripadanya adalah pegawai kanan di peringkat pengurusan dan profesional), manakala di Jabatan Penerangan, terdapat 74 pegawai daripada jumlah keseluruhan 2,422 orang (lima pegawai pengurusan dan profesional)," katanya.

Liew berkata demikian ketika mejawab soalan tambahan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) yang bertanyakan tentang kedudukan kaum India di jabatan-jabatan kerajaan termasuk yang memegang jawatan pegawai tinggi.

(Sumber: Bernama - 5/4/2010 - 16:10pm)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment