| 0 comments ]

Tiga elemen iaitu unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan akan diajar dalam subjek Sejarah yang dijadikan mata pelajaran teras peringkat sekolah rendah bermula 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pengajaran subjek itu juga bermula dari Tahun Satu di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Bercakap kepada pemberita di Melaka, beliau berkata kementerian juga telah membuat persediaan daripada segi memberi latihan kepada guru serta memastikan bilangan tenaga pengajar mencukupi untuk mengajar subjek tersebut.

"Kita dah buat projek rintis untuk mengajar Sejarah di sekolah rendah berbanding elemen Sejarah yang pada masa kini diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan," katanya selepas merasmikan penutupan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-22, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Melaka.

Mohd Puad diminta mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa subjek Sejarah akan dijadikan wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bermula 2013.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata bermula tahun 2014, mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras bagi peringkat sekolah rendah.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata keputusan kerajaan itu adalah atas kehendak rakyat sendiri yang ingin melihat para pelajar memahami asal usul mereka dalam usaha membentuk negara bangsa.

Beliau juga berkata kementerian akan mengambil pendekatan baru bagi memastikan murid-murid memahami dan menghayati mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah termasuk mengadakan kuiz, lawatan, lakonan dan drama.

(Sumber: Bernama - 24/10/10 - 20:13PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment