| 0 comments ]

Kerajaan diminta membina Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di setiap daerah untuk memberi peluang kepada pelajar cemerlang luar bandar menikmati suasana pembelajaran yang lebih selesa.

Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria berkata bagi tempoh jangka masa panjang, SBP ini perlu diwujudkan di setiap daerah kerana meningkatnya jumlah calon cemerlang terutama pelajar luar bandar menerusi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Hasil daripada keberkesanan sistem pendidikan...beberapa tahun kebelakangan ini terdapat peningkatan ketara bagi jumlah pelajar yang memperolehi 5A dari kawasan luar bandar.

"Kesemua mereka ini memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran dengan hasrat untuk membela dan mengeluarkan keluarga daripada belenggu kemiskinan yang rata-rata daripada golongan berpendapatan rendah," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan kepada pelajar cemerlang di Institut Latihan Kemas di Seri Iskandar, Khamis.

Beliau berkata ramai di kalangan pelajar cemerlang ini gagal memasuki SBP memandangkan kuota pelajar ke SBP pada masa ini adalah terhad dan ini menyebabkan sesetengah pelajar gagal mengekalkan kecemerlangan masing-masing.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 217 pelajar yang memperolehi 5A dalam UPSR 2010 dari 23 buah sekolah rendah dalam kawasan Parlimen berkenan.


(Sumber: Bernama - 30/12/2010 - 4:36PM)


Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment