| 0 comments ]

Seramai 7,987 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2009 memperoleh gred cemerlang (A , A, dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 6,277 pada 2008.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata daripada jumlah itu, seramai 214 calon berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A ) bagi penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Beliau berkata gred Cemerlang Tertinggi diperkenalkan sebagai gred yang lebih tinggi daripada gred 1A bagi memperincikan lagi kecemerlangan seseorang calon.

"Saya gembira memaklumkan bahawa pada keseluruhannya pencapaian calon pada kali ini amat membanggakan, melebihi pencapaian tahun sebelumnya.

"Pencapaian calon meningkat dari segi peratusan bilangan memperoleh sijil, cemerlang (A , A dan/atau A-) dan lulus semua mata pelajaran yang diduduki," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya pada Khamis.

Katanya seramai 465,853 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan ini pada tahun lalu.

Alimuddin berkata daripada 59,433 calon persendirian, sekolah swasta dan sekolah-sekolah tajaan agensi selain Kementerian Pelajaran, seramai 41 orang memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A ).

Beliau turut mengumumkan Gladys Tan Yee Kim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Sarawak sebagai pelajar terbaik bagi SPM 2009 dan Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan sebagai sekolah terbaik.

Katanya bagi 10 sekolah pelajar terbaik, sembilan pelajar yang lain ialah Grace Kiew Sze-Ern (SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor), Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan), Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar, Perlis), Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan);

Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Selangor), Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan), Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka, Melaka), Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Selangor) dan Hu May Khei (SMK Convent, Taiping, Perak).

Katanya sembilan lagi sekolah terbaik pula ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Jalan Sungai Pusu, Gombak, Kuala Lumpur; Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur;

SBPI Rawang, Selangor; Sekolah Menengah Sains Muar, Johor; SBPI Temerloh, Pahang; SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor dan Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan.

Alimuddin berkata daripada 406,420 calon sekolah Kementerian Pelajaran yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu, seramai 364,046 (90.8 peratus) berjaya memperoleh sijil SPM berbanding 347,443 (90.8) pada 2008.

"Walaupun peratusannya sama, tetapi terdapat pertambahan calon seramai 16,603. Pencapaian ini adalah stabil sepertimana pencapaian tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata seramai 199,155 (49.6 peratus) calon lulus semua mata pelajaran yang diambil berbanding 181,419 (47.4) pada tahun sebelumnya.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 68,131 (17 peratus) calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran dalam SPM tahun lalu berbanding 60,902 (15.9) pada 2008.

"Pencapaian ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Bagaimanapun, bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G agak meningkat iaitu seramai 4,626 (1.15 peratus) pada tahun 2009 berbanding 2,589 (0.67) pada 2008," katanya.

Alimuddin berkata seramai 538 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan telah menduduki peperiksaan SPM 2009 berbanding 481 calon pada 2008, dan daripada jumlah itu, 251 (51.9 peratus) calon berjaya mendapat sijil SPM berbanding 208 (47.8) pada 2008.

Katanya dua calon rabun penglihatan berjaya mendapat empat A , tiga A dan empat A- daripada 11 mata pelajaran yang diambil manakala seorang lagi mendapat empat A , tiga A dan tiga A- daripada 10 mata pelajaran yang diduduki.

"Terdapat dua lagi calon yang mengalami pelbagai kecacatan berjaya memperoleh pencapaian cemerlang apabila kedua-duanya mendapat lapan A , dua A daripada 10 mata pelajaran yang diambil," katanya.

Katanya pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu seramai 5,942 calon bandar dan 1,243 (luar bandar) memperoleh cemerlang bagi semua mata pelajaran berbanding 4,750 (bandar) dan 989 (luar bandar) pada 2008.

Beliau berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar telah dapat dirapatkan dari segi prestasi beberapa mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Pendidikan Moral.

Alimuddin berkata bagaimanapun usaha untuk merapatkan jurang prestasi antara bandar dan luar bandar perlu dipergiatkan lagi terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam.

Katanya berdasarkan Gred Purata Sekolah, sebanyak 66 buah sekolah berada dalam kategori Cemerlang, 278 (Baik), 1,654 (Memuaskan) dan 143 (Berpotensi), menunjukkan usaha kementerian untuk meningkatkan prestasi sekolah berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata jumlah pelajar yang lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada peperiksaan SPM tahun lalu mencatatkan kenaikan berbanding pada tahun sebelumnya.

Katanya seramai 364,046 pelajar lulus Bahasa Melayu pada peperiksaan tahun lalu berbanding 347,443 pada 2008 dan 302,501 lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris berbanding 282,471 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha ke arah memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris agar prestasi kedua-dua mata pelajaran itu dapat dipertingkatkan.

(Sumber: Bernama - 11/03/2010 - Updated: 21:11pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

Seramai 3,138 (66.9 peratus) calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berjaya memperoleh sijil STAM dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (Lulus).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata jumlah itu meningkat berbanding 3,098 (66.1 peratus) calon memperoleh sijil STAM pada 2008.

"Saya mengucapkan syabas kepada calon yang berjaya memperoleh sijil STAM ini. Sesungguhnya kejayaan ini membolehkan mereka mendapat tempat di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti antarabangsa tempatan yang lain," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STAM 2009 di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

Seramai 6,920 calon menduduki peperiksaan STAM pada tahun lalu dan 10 mata pelajaran ditawarkan kepada calon STAM meliputi bidang bahasa, syariah dan usuludin.

Beliau berkata, STAM diiktiraf setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun lalu.

(Sumber: Bernama - 11/03/2010 - 14:16pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan akan memansuhkan bayaran wad yang dikenakan terhadap pegawai dan pesara perkhidmatan awam yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkuatkuasa 1 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam pemansuhan itu turut terpakai untuk anggota keluarga dan ibu bapa mereka.

"Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai," katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, Rabu.

Beliau berkata kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi, Gred 45-54 ialah Kelas 1 bilik seorang, Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga) dan Gred 1-20 (Kelas 2).

Kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa sah adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan, katanya.

Kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

Ismail berkata jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa sah meminta untuk dimasukkan ke dalam wad yang lebih tinggi daripada kelayakan yang ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar yang dikenakan ke atas orang awam.

"Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata dengan berkuatkuasanya pekeliling perkhidmatan itu, perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991, dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 adalah dibatalkan.

Ismail berkata peruntukan pekeliling perkhidmatan itu pada seluruhannya turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

(Sumber: Bernama - 10/3/2010 - 14:06pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 3 comments ]

Malam ni temankan MakTeh tengok Final Raja Lawak 4 ASTRO. Walau sejauhmana kita terhibur atau tidak dengan persembahan peserta, waktu pengumuman keputusan tetap kita tunggu.

Akhirnya, upset: Alex no. 3. Ingat dia mampu utk no. 2 atau no. 1.

Johan : Kechik ?? Kechik ?? Maknanya, Idlan Ponpon adalah no. 2. Rasanya, Idlan boleh no. 2 atau no. 1, macam Alex - saingan agak sengit bagi mereka berdua.

Begitulah.. bila keputusan bukan di tangan juri atau hakim.. bergantung hanya pada jumlah SMS sokongan. Dan begitulah kualiti yang buruk boleh jadi johan, asal kuantiti SMSnya menang.

Fed up with this system.. Tahun depan tak payah tengoklah. ASTRO bukan nak naikkan martabat pelawak, tetapi nak naikkan untung saja. Lagipun, juruacara 2 orang (Johan & Zizan) tu lagi lawak sebenarnya sepanjang beberapa siri pertandingan. Berbeza kualiti pelawak tahun ini berbanding 2-3 tahun lalu.. di era Nabil Sepah dll.

Tetiba terfikir pula.. agak-agak.. kalau pengundian calon Perdana Menteri hanya pakai SMS.. lingkup tak negara kita? Minta ASTRO jawab.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumum pada Khamis depan (11/03/2010).

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata keputusan akan dikeluarkan di sekolah-sekolah mulai pukul 10 pagi.

Calon persendirian pula akan menerima keputusan masing-masing melalui pos yang dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri, katanya dalam kenyataan, di sini Khamis.

Sejumlah 165,853 calon menduduki peperiksaan bertulis SPM di 3,569 pusat peperiksaan di seluruh negara yang bermula pada 18 Nov hingga 16 Dis lepas, katanya.

Seramai 6,920 calon pula menduduki peperiksaan STAM di 98 buah pusat peperiksaan yang berlangsung dari 19 hingga 27 Okt lepas.

(Sumber: Bernama - 4/3/2010 - 14:02pm)


G O O D L U C K !

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan kadar pencen antara 0.6 peratus dan 11.3 peratus kepada 206,585 orang penerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Kadar baru itu melibatkan kos tambahan sebanyak RM66.4 juta setahun.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam, ketika mengumumkannya, berkata pembayaran pencen baru itu akan bermula 1 April ini dan merupakan kadar tertinggi dalam sejarah PERKESO.

Menurutnya kenaikan tersebut, yang berkuatkuasa 1 Jan 2008, mengambil kira tahap Indeks Harga Pengguna. "Tunggakan akan dibayar dari tarikh berkuatkuasa mulai 1 Januari 2008 sehingga tarikh kadar bayaran baru ini diluluskan," katanya pada majlis penyampaian pencen Perkeso di Kuala Lumpur.

Dr Subramaniam berkata jumlah tunggakan bayaran pencen ekoran penyelarasan bagi tempoh 1 Januari 2008 hingga 31 Mac 2010 adalah berjumlah RM142.4 juta.

Katanya bilangan penerima seramai 206,585 orang tersebut melibatkan penerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) serta orang berinsurans yang sedang menerima pencen Penakat dan Ilat dari Perkeso pada atau sebelum 31 Dis 2007.

Beliau yakin menerusi penyelarasan kadar pencen baru oleh Perkeso, ia dapat membantu meringankan bebanan penerima pencen Perkeso.

"Dari semasa ke semasa, kajian berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan penyesuaian kadar bayaran pencen dilaksanakan agar penerima faedah tersebut berada pada tahap ekonomi semasa serta dapat menampung kos sara hidup yang meningkat," kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata Perkeso sentiasa memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan pencarumnya menerusi dua skim keselamatan sosial yang ditadbirkan olehnya iaitu Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.

Menerusi kedua-dua skim ini, Perkeso menyediakan faedah bayaran jangka panjang kepada pencarumnya yang menerima faedah hilang upaya kekal berkala dan faedah Pencen Ilat, katanya.

"Bayaran jangka panjang ini disediakan bagi memastikan kebajikan penerima kedua-dua jenis bayaran tersebut sentiasa terpelihara dan terjamin," katanya.

Pada majis tersebut, Dr Subramaniam menyampaikan faedah dan alat pemulihan kepada 25 orang penerima faedah terdiri dari penerima faedah Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal dan Pencen Penakat yang melibatkan jumlah bayaran sebanyak RM365,000.

(Sumber: Bernama - 1/3/2010 - 17:47pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...