| 0 comments ]

Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan 1,500 biasiswa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) tahun ini dengan penajaan berjumlah RM1.24 bilion untuk sepanjang pengajian.

Penajaan PILN, katanya, akan ditawarkan mengikut empat kategori iaitu populasi kaum (60 peratus), kecemerlangan akademik (20 peratus), Bumiputera Sabah dan Sarawak (10 peratus) serta golongan 'socially disadvantaged' (10 peratus).

Kriteria yang diguna pakai untuk pemilihan atau penawaran biasiswa JPA termasuk pencapaian akademik, penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum, sosio-ekonomi dan latar belakang keluarga serta prestasi temu duga.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program untuk menyediakan biasiswa yang berprestij itu bertujuan melahirkan modal insan yang berkualiti bagi menjamin kesinambungan keupayaan negara di masa akan datang.

"Fokus penajaan PILN 2010 adalah kepada bidang-bidang kritikal dan keutamaan yang diperlukan oleh negara pada masa hadapan, seperti perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan," katanya kepada wartawan Malaysia Isnin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berada di sini bagi menghadiri mesyuarat ke-184 Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang bermula esok.

Muhyiddin berkata kejuruteraan dan perubatan merupakan dua bidang yang paling popular di kalangan calon dengan United Kingdom, Australia dan New Zeland menjadi negara pengajian pilihan majoriti 18,844 pemohon, termasuk 10,114 permohonan yang diterima oleh JPA.

Bagaimanapun, katanya tempat yang disediakan bagi pelajar-pelajar yang memohon bidang kritikal adalah di pelbagai negara, termasuk Australia, New Zealand, India, Republik Czech dan Poland selain program berkembar di Penang Medical College, Melaka Manipal Medical College dan International Medical Universiti.

Bagi bidang kejuruteraan, tempat yang disediakan adalah di Perancis, Jerman serta Amerika Syarikat manakala bakinya adalah untuk bidang keutamaan dan strategik yang lain, kata Muhyiddin.

Selain penajaan ke luar negara, beliau berkata kerajaan turut memberi keutamaan kepada penajaan pelajar cemerlang ke institusi pengajian tinggi tempatan dengan menyediakan 100 penajaan untuk mengikuti pengajian di empat buah universiti penyelidikan iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

Pelajar-pelajar yang dipilih akan menerima kadar elaun sara hidup 50 peratus lebih tinggi daripada kadar biasiswa persekutuan sedia ada di dalam negara, katanya.

Muhyiddin berkata memandangkan terdapat persaingan yang sengit bagi penajaan PILN, sebanyak 1,900 penajaan lagi akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih di bawah PILN untuk mengikuti pengajian ke IPT tempatan.

"Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi, asasi, pra-universiti dan seterusnya ke peringkat ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik semasa di peringkat persediaan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata anggaran kos program penajaan dalam negara untuk 10,500 pelajar ialah sebanyak RM1.2 bilion untuk sepanjang pengajian.

Permohonan telah dibuka melalui laman web JPA www.jpa.gov.my mulai 11 Mac.

(Sumber: Bernama: 5/4/2010 - 20:12PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Program Susu Sekolah (PSS) akan ditangguh sehingga pengilang terlibat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan sijil 'Hazard Critical Control Point' (HACCP), Dewan Rakyat diberitahu Isnin; 5/4/2010.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan antara kementeriannya dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menetapkan pemerolehan sijil tersebut bagi mengelakkan pengulangan kes-kes keracunan susu di sekolah.

"Sejak dua tahun lepas, kementerian dan KKM sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan lakukan audit ke atas pengilang tetapi sampai hari ni pengilang masih belum buat penambahbaikan atau pengubahsuaian seperti yang disyaratkan oleh pensijilan HACCP.

"Oleh itu adalah wajar program ini ditangguhkan sementara waktu," katanya menjawab soalan Chua Tee Yong (BN-Labis) yang ingin tahu bila PSS akan disambung semula dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah keracunan susu, di sini.

Wee juga berkata hanya terdapat satu pengilang susu di Semenanjung Malaysia iaitu Dutch Lady dan selepas tiga pengauditan dibuat dalam tempoh dua tahun, KKM telah menghantar surat kepada Kementerian Pelajaran bahawa kilang tersebut masih belum mematuhi syarat seperti yang dijanjikan.

"Maka disebabkan itu, kita tidak dapat meneruskan program ini," katanya.

Selain pengilang, katanya kerajaan turut menitik beratkan rangkaian pengagihan susu ke sekolah termasuk cara mengangkut dan menyimpan bekalan susu yang telah diterima.

"Tiga aspek ini perlu diberi perhatian. Kalau sekolah yang besar, 'chiller' perlu dibekalkan untuk memastikan bahawa susu yang segar, dan bukannya susu yang basi dibekalkan kepada pelajar miskin," katanya.

(Sumber: Bernama - 5/4/2010 - 16:59pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja, Dewan Rakyat diberitahu Isnin - 5/4/2010.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan hanya akan membenarkan penjualan rokok 20 batang yang lebih mahal harganya selain memperluaskan kawasan larangan merokok di seluruh negara.

"Kita baru perkenalkan harga minimum pada Januari. Kita akan lihat kesan terlebih dahulu dan kaji langkah-langkah lain termasuk untuk adakan lebih banyak kawasan larangan merokok," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) di persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Dr Mohd Hatta ingin tahu adakah kerajaan bersedia menaikkan harga lantai rokok untuk menghalang golongan muda daripada memulakan tabiat merokok.

Liow berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain terutamanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membanteras penyeludupan rokok yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berhubung cadangan menetapkan harga siling bagi rokok, Liow berkata tiada keperluan bagi cadangan itu dilaksanakan kerana harga rokok pada masa ini cukup tinggi.

Dalam soalan berbeza, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menafikan wujudnya ketidakseragaman pengagihan jawatan kepada pekerja berketurunan India di jabatan-jabatan kerajaan.

Katanya bagi perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 3,591 atau 3.5 peratus daripada 103,051 pegawai adalah daripada kaum India, dan 37 daripada jumlah itu merupakan pegawai kanan.

"Di Jabatan Perpaduan, terdapat 35 pegawai kaum India daripada 868 pegawai (enam daripadanya adalah pegawai kanan di peringkat pengurusan dan profesional), manakala di Jabatan Penerangan, terdapat 74 pegawai daripada jumlah keseluruhan 2,422 orang (lima pegawai pengurusan dan profesional)," katanya.

Liew berkata demikian ketika mejawab soalan tambahan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) yang bertanyakan tentang kedudukan kaum India di jabatan-jabatan kerajaan termasuk yang memegang jawatan pegawai tinggi.

(Sumber: Bernama - 5/4/2010 - 16:10pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...