| 0 comments ]

Kira-kira 9,000 calon yang gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ia dilaksana pada 2003 bakal menghadapi kemungkinan dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 240 jam.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata pelaksanaan hukuman itu pada tahun ini selaras dengan pindaan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yang mula dikuatkuasa November 2009.

"Kita dah ubah akta, mereka ini tak didenda lagi tapi mereka dikenakan hukuman khidmat masyarakat," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kem PLKN Princess Haliza, di sini Jumaat.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Sebelum pindaan itu, calon yang ingkar mengikuti kursus itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Abdul Latiff berkata senarai calon yang ingkar itu telah diserah kepada polis untuk disiasat dan dibawa ke mahkamah, dan hukuman itu akan dikenakan sekiranya mereka didapati bersalah.

Beliau berkata mereka juga masih diwajibkan untuk menghadiri program itu selepas menjalani hukuman.

Dalam perkembangan lain Abdul Latiff berkata kajian keberkesanan PLKN yang melibatkan 62,000 responden telah dibentang kepada jemaah menteri dan mereka berpuas hati dengan hasil kajian itu.

"Respon yang diterima amat positif di samping banyak cadangan penambahbaikan dan kita mungkin akan menerbitkan hasil kajian itu untuk makluman orang ramai," katanya.

(Sumber: Bernama - 7/1/11 - 4:33PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment