| 0 comments ]

Persatuan bekas pelajar dan Lembaga Sekolah disaran supaya memberi sumbangan kepada sekolah masing-masing dalam usaha membantu dalam pembangunan dan peningkatan prestasi sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata semangat dan tradisi ini secara tidak langsung dapat mendorong semangat guru-guru serta murid-murid di sekolah itu untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

"Semangat ini boleh dianggap sebagai dorongan daripada ibu bapa dan masyarakat yang mengambil bahagian dalam membantu pembangunan sekolah dan secara langsungnya mendorong anak-anak mereka untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh lagi."

"Inilah tradisi yang sangat digalakkan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan peruntukan Perdana Menteri untuk Tabung Pembinaan Dewan Serbaguna Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serendah, dekat sini Jumaat.

Selain peruntukan daripada kerajaan, pihak sekolah juga giat menjalankan kutipan derma daripada orang ramai khususnya bekas pelajar sekolah bagi menampung pembinaan dewan serbaguna itu yang berharga RM3 juta.

Pada majlis itu, SJKC Serendah menerima peruntukan RM1.5 juta bagi membina dewan serbaguna yang boleh menampung kira-kira 1,000 pelajar selain dilengkapi dengan kemudahan seperti pusat sumber.

Dewan serbaguna itu juga dijangka dapat menampung kesesakan pelajar di sekolah berkenaan. Pada masa kini, aktiviti seperti perhimpunan sekolah, dijalankan di kantin sekolah.

Menurut Koh, peruntukan ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi telah menunaikan janji kepada rakyat khususnya di Hulu Selangor.

"Ini bukti bahawa janji kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah ditunaikan. Dengan dorongan dan sokongan semua pihak, dewan ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi," katanya.



(Sumber: Bernama - 7/1/11 - 3:46PM)

Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment